Anak Hilang Selepas Hubungan Cinta Terbongkar

15

ALOR SETAR – Sepasang suami isteri dicari susulan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun dipercayai dilarikan mereka di Langkawi, di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan itu dibuat oleh ibu kandung kanak-kanak tersebut kira-kira jam 12.08 tengah malam, semalam.

Katanya, pembantu restoran warga Indonesia yang berusia 31 tahun itu memaklumkan Nur Aisyah Aleya Abdullah dijaga kedua suspek berusia 37 dan 40 tahun sejak hujung Januari lepas.

“Pada awal November tahun lepas, wanita berkenaan mendakwa mengenali suspek lelaki yang sering datang ke tempat kerjanya di Pulau Pinang dan mereka menjalinkan hubungan cinta.

“Dia kemudiannya datang ke Langkawi untuk bekerja dan tinggal di kediaman pasangan suami isteri terbabit,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, isteri suspek yang merupakan seorang jururawat akhirnya dapat menghidu hubungan suaminya dengan wanita berkenaan pada hujung Januari lalu.

“Jadi, pengadu dihantar ke tempat kerjanya di sebuah restoran di Kampung Bohor Tempoyak, bagaimanapun anaknya tidak diserahkan semula kepadanya,” katanya.


Beliau berkata, ibu kanak-kanak itu kemudiannya pergi ke rumah suspek pada penghujung Februari lepas, bagaimanapun dimaklumkan bahawa anak perempuannya telah diberikan kepada pihak lain yang tidak dikenali.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di rumah dan tempat kerja isteri suspek, namun mereka berdua tiada di lokasi terbabit.

“Kedua suspek juga gagal dihubungi dan kini usaha mengesan suspek dan isterinya yang dipercayai melarikan kanak-kanak itu sedang dilaksanakan,” katanya.

Kata Mohd Iqbal, hebahan menerusi Nur Alert juga telah diaktifkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 48(2) Akta Kanak-Kanak. – Sinar Harian