Amanat Tun Abdul Hamid Sempena Himpunan 812

BERSEMANGAT… Sempena perhimpunan #DaulatHimpunan812 yang disertai jutaan umat Islam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Tun Abdul Hamid Mohamad ada pesanan khas untuk peserta.

Selain zahir bantahan keras terhadap usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), beliau ada nasihat sebagai panduan.

Bekas ketua hakim negara itu yang terkenal lantang dalam perjuang isu berkaitan hal ehwal Islam sejak dahulu lagi, jelas bersemangat dan singkap bahana buruk jika ICERD diperakui terutama kepada masyarakat pribumi sendiri.

Berikut kenyataan penuh beliau:

8 Disember 2018

Tuan-tuan dan puan-puan, Saya mohon maaf tidak dapat hadir bersama tuan-tuan dan puan-puan kerana keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan.

Saya harap umat Islam dan bangsa Melayu yang hadir di sini akan berhimpun dengan aman, berakhlak dan bersopan sambil menyatakan pendirian mereka dengan tegas.

Kita tentang ICERD kerana ia bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Pesekutuan mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak yang telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum Merdeka.

Orang Melayu tidak pernah mempersoalkan hak yang diberikan kepada orang bukan Melayu. Maka orang bukan Melayu dan kerajaan Pakatan Harapan janganlah cuba menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

Dalam hal ini, tidak ada tolak ansur. Bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia hendaklah bersatu dan mempertahankan hak mereka.

Anak-anak negeri Sabah dan Sarawak perlu sedar bahawa jika hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan, hak keistimewaan mereka juga akan hapus.

Kepada semua rakyat Malaysia saya berseru, hormatilah peruntukan Perlembagaan Malaysia dan bersama-samalah membena sebuah negara Malaysia yang aman, tenteram, makmur dan maju seperti yang kita telah lakukan semenjak Merdeka.

Sekian. Terima kasih.

Tun Abdul Hamid Mohamad