Abdul Rahim: Pandu Helikopter Ditembak Musuh

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

PERISTIWA yang membawa kepada penganugerahan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada Brigedier Jeneral (B) Abdul Rahim Abdul Rahman terjadi sewaktu beliau berkhidmat sebagai Ketua Flait di 10 Skuadron Helikopter Nuri, Kuantan.

Suatu hari Ahad, tanggal 22 Disember 1974, oleh sebab kekurangan juruterbang, beliau telah menjadi Standby Pilot.

Pembantunya pada hari itu ialah Leftenan Mohd. Nordin Mohd. Kasim TUDM dengan Sarjan Arokiasamy Augustine a/l U. Ubagarasamy sebagai Kuatermaster Udara.

Pada sebelah petangnya, Abdul Rahim telah dimaklumkan bahawa sebuah helikopter diperlukan untuk mengeluarkan dua anggota Kompeni B Rejimen Ketujuh Renjer dari dua lokasi yang berlainan di kawasan Weng, Baling.

Kedua-dua mereka tercedera akibat terkena letupan jerangkap samar musuh ketika melakukan operasi di situ.

Tanpa membuang masa, Abdul Rahim bersama pasukannya serta dibantu seorang doktor, lantas terbang meninggalkan Kuantan menuju ke lokasi yang ditetapkan.

Perjalanan ke Weng mengambil masa lebih kurang sejam setengah waktu penerbangan.

Kebetulan ketika itu sudah lewat petang dan cuaca pula agak kurang baik sehingga memaksanya melakukan penerbangan yang tinggi untuk mengelakkan sebarang kemalangan.

Di lokasi pertama, Abdul Rahim terpaksa menggunakan winching untuk mengeluarkan Renjer Noor Ismail yang cedera parah di kaki selepas helikopter tidak boleh mendarat di tempat tersebut.

Bagaimanapun, tugas tersebut tidak semudah yang dijangka selepas alat tersebut mengalami kerosakan.

Kerosakan itu telah menyebabkan kerja penarikan anggota dari bawah ke atas pesawat oleh Augustine menjadi agak lambat dan sukar kerana terpaksa menggunakan tangan.

Selesai di situ, Abdul Rahim yang ketika itu berpangkat Kapten kemudiannya bergegas pula ke lokasi satu lagi untuk menyelamatkan Renjer Amran Sulaiman biarpun alat winching pesawatnya telah rosak.

Untuk memudahkan lokasi kedua dikesan, beliau telah meminta ketua pasukan Rejimen Renjer di situ menembak Very Light ke udara.

Tetapi malangnya di situ juga tiada kawasan pendaratan helikopter.

Cuma terdapat satu ruang kecil antara dahan-dahan pokok untuk mereka menghulurkan tali winching ke bawah.

Malah keadaan di situ lebih sukar dari tempat sebelumnya kerana kedudukan mereka berada di atas kawasan pergunungan serta terdapatnya tiupan angin kencang di sepanjang masa sehingga menyukarkan Abdul Rahim mengawal pesawat.

Namun dengan pengalaman yang ada beliau berjaya mengawal pesawat dengan baik.

Sebelum menghulurkan tali winching, Abdul Rahim membuat keputusan untuk berlegar-legar di sekeliling kawasan tersebut untuk memastikan tiada musuh berkeliaran di situ di samping mencari tempat yang paling sesuai.

Tembakan Bertubi-tubi

Setelah berpuashati musuh tidak kelihatan di situ, beliau lantas merendahkan sedikit pesawat sambil mengarahkan Augustine menurunkan tali winching.

Ketika tali sedang dihulurkan pada ketinggian kira-kira 50 meter tanpa diduga, musuh yang muncul entah dari mana melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah mereka.

Tembakan tersebut telah menembusi bahagian bawah pesawat. Dalam keadaan cemas itu, Abdul Rahim tidak boleh menggerakkan pesawatnya ke hadapan untuk meninggalkan tempat tersebut kerana anggota yang sedang diselamatkan masih lagi tergantung jauh di bawah pesawat.

Sekiranya beliau terus terbang ke hadapan kemungkinan besar Amran akan tersangkut di dahan pokok. Untuk membawa helikopter naik lebih tinggi juga tidak boleh kerana pesawat tidak mempunyai cukup kuasa untuk berbuat demikian.

Ekoran itu, beliau terpaksa berhadapan dengan tembakan tersebut sehingga Amran dapat ditarik lebih dekat kepada pesawat.

Pada waktu itu juga, musuh mula melepaskan tembakan pusingan kedua ke arah helikopter berkenaan.

Kali ini tembakan datang dari arah hadapan dan telah memecahkan beberapa peralatan penerbangan pesawat yang berada di hadapan juruterbang.

Serpihan alat-alat penerbangan yang pecah telah mengenai kaki Abdul Rahim serta mencederakannya. Melihat keadaan itu, Mohd. Nordin menasihatkannya agar segera meninggalkan tempat tersebut.

Disebabkan bimbang keselamatan mereka, sebaik sahaja menerima isyarat daripada Augustine bahawa Amran telah pun hampir tiba ke pintu pesawat, beliau lantas meninggalkan tempat tersebut.

Tindakan itu menyebabkan Amran tergantung di tepi pintu pesawat buat beberapa ketika dalam keadaan melayang-layang.

Beliau kemudiannya terus memandu pesawat terbabit ke Markas Taktikal 7 Renjer yang terletak berhampiran Sekolah Rendah Tanjung Pari, Baling.

Dalam perjalanan, Augustine telah berjaya menarik Amran ke perut pesawat manakala Abdul Rahim menghantar laporan kejadian ke markas.

Sejurus pesawat mencecah tayarnya ke sekolah tersebut, Abdul Rahim terus mematikan enjin pesawat.

Pada waktu itu juga kelihatan beberapa orang anggota tentera berlari ke arah pesawat membawa tin kosong untuk menadah minyak helikopter yang keluar dari tangkinya kerana ditembusi peluru pengganas.

Selepas itu barulah Amran dan Noor dipindahkan ke helikopter Allouette untuk diterbangkan pula ke Hospital Besar Pulau Pinang.

Bersungguh-sungguh

Apabila ditanya mengapa dirinya begitu bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan anggota tentera yang cedera pada ketika itu, Abdul Rahim berkata sebagai seorang bekas pegawai Rejimen Renjer dan pernah pula beroperasi di hutan belantara, beliau dapat merasakan betapa tingginya harapan setiap anggota yang sedang beroperasi untuk mendapatkan bantuan helikopter dari TUDM apabila diperlukan.

Moral anggota Tentera Darat menurutnya akan berbeza jika bantuan helikopter boleh diperoleh dengan cepat.

“Saya dapat merasakan bagaimana perasaan seorang anggota yang telah tercedera, rakan-rakan seperjuangan, keluarga mereka dan anggota batalion terhadap bantuan penerbangan kecemasan yang diberikan.

“Tugas saya adalah untuk menyelamatkan mereka. Jadi sekiranya saya gagal berbuat demikian sudah tentu tidak ada orang yang akan melakukannya,’’ katanya.

Bagi beliau, sekiranya anggota Tentera Darat boleh mendapatkan bantuan helikopter TUDM pada bila-bila masa, tanpa mengira waktu dan keadaan maka sudah tentu mereka akan melaksanakan apa juga misi yang dipertanggungjawabkan tanpa berfikir dua kali.

Oleh sebab kebolehan, keberanian dan kebijaksanaannya dalam mengawal perasaan takut ketika menghadapi saat-saat cemas dengan membelakangkan segala kepentingan diri maka Abdul Rahim telah dikurniakan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 8 Mei 1975 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Selaku Kuatermaster Udara yang telah turut mengharungi saat-saat genting membantu Abdul Rahim melaksanakan misinya, Augustine juga telah dikurniakan pingat PGB. Kedua-dua mereka menerima penganugerahan masing-masing di Istana Negara pada 22 Julai 1975.

Sepanjang kerjayanya sebagai juruterbang sejak menyertai TUDM pada 28 Ogos 1972, Abdul Rahim pernah menempuh beberapa pengalaman lain yang mencabar kemampuannya seperti melaksanakan misi dalam cuaca buruk, ketika hari hampir malam dan pada waktu malam.

Di saat itu kecekapannya benar-benar teruji apatah lagi pesawat Nuri hanya mempunyai kebolehan yang terhad untuk bergerak pada waktu malam.

Adakalanya tindakan beliau itu hampir-hampir meragut nyawanya sendiri.

Misalnya dalam satu kejadian pada 13 Disember 1973. Ketika itu Abdul Rahim bersama Pembantu Juruterbang Leftenan Mohd. Mahidin Binawang TUDM dan Kuatermaster Udara Sarjan Hassan Ibrahim singgah untuk bermalam di Kota Bharu kerana tidak mahu meneruskan perjalanan ke Kuantan disebabkan hari sudah hampir malam.

Semasa berada di Kem Pengkalan Chepa, beliau telah dihubungi oleh Ketua Inspektor Ghaffar, salah seorang Komander Pasukan Polis Hutan (PPH) yang berpangkalan di situ dan memintanya menghantar makanan kepada anggotanya yang sedang beroperasi.

Saya dapat merasakan bagaimana perasaan seorang anggota yang telah tercedera, rakan-rakan seperjuangan, keluarga mereka dan anggota batalion terhadap bantuan penerbangan kecemasan yang diberikan.

Anggota terbabit dikatakan telah beberapa hari kehabisan makanan kerana bekalan tidak dapat dihantar akibat cuaca buruk.

Mengenangkan kesengsaraan yang dialami oleh anggota pasukan terbabit, beliau tanpa banyak soal bersetuju untuk menghantar makanan tersebut walaupun hari sudah hampir malam. Setibanya beliau ke lokasi yang ditetapkan, hari telah pun malam dan kebetulan hujan mulai turun.

Memandangkan helikopternya tidak mempunyai peralatan yang membolehkannya terbang pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca buruk, maka terpaksalah Abdul Rahim bergerak pulang dengan berpandukan cahaya lampu kenderaan di jalan raya.

Akhirnya selepas bertungkus lumus mereka tiba ke lapangan terbang Pengkalan Chepa pada pukul 9 malam. Satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakannya berlaku senja 19 April 1974.

Waktu itu beliau bersama dengan Pembantu Juruterbang Leftenan Muda Raja Badrul Zaman Raja Hussein TUDM telah diminta memberi bantuan udara dalam Gerakan Gonzales Pertama di kawasan Hutan Simpan Kinta.

Mereka ditugaskan untuk mengeluarkan anggota Z Skuadron 1 RGK yang telah tercedera serta anjing pengesan bernama Ben yang terkorban setelah diserang hendap pengganas ketika sedang membuat penjejakan.

Setibanya di tempat kejadian hari telah pun gelap. Disebabkan itu, Abdul Rahim terpaksa menggunakan lampu untuk membuat winching bagi mengeluarkan anggota komando terbabit.

“Apa yang saya lakukan itu adalah kerana ingin membuktikan kepada anggota Tentera Darat bahawa TUDM sentiasa bersedia dan segera membantu mereka apabila diperlukan tidak kira di mana sahaja, pada sebarang masa dan dalam keadaan apa sekalipun,’’ kata Abdul Rahim.

Kisah keberanian mereka berdua dipaparkan dengan mendalam dalam buku Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia tulisan Syed Othman Syed Omar.

Tugas saya adalah untuk menyelamatkan mereka. Jadi sekiranya saya gagal berbuat demikian sudah tentu tidak ada orang yang akan melakukannya.

Pada satu lagi kejadian yang berlaku pada 21 September 1974 dalam Op Indera, setelah melaksanakan misi pada hari tersebut di sebelah petangnya Abdul Rahim mendapati pesawatnya rosak sedangkan pada keesokan harinya beliau dikehendaki membuat penerbangan.

Dengan sebab itu, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain membawa pesawat berkenaan balik ke Kuantan untuk diperbaiki.

Kira-kira pukul 7 malam, beliau telah memohon kebenaran daripada Komander Udara, Mohd. Ngah Said untuk membuat penerbangan malam ke Kuantan.

Selepas mendapat kebenaran, Abdul Rahim bersama Leftenan Nor Ibrahim Sulaiman TUDM dan Kuatermaster Udara Staf Sarjan Isa meninggalkan Bentong untuk menuju ke Kuantan.

Selang tidak berapa lama selepas itu, hujan turun dengan lebatnya.

Setibanya di Kuantan di saat hujan masih lebat, Abdul Rahim hampir melanggar palong lombong bijih timah kerana menyangkakan tempat tersebut adalah Lapangan Terbang Kuantan.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Terengganu pada waktu malam dan tugas itu amatlah sukar.

Abdul Rahim juga pernah ditugaskan mencari orang kampung yang terperangkap dalam banjir untuk dibawa ke tempat yang selamat.

Bagaimanapun, satu pengalaman ngeri yang tidak mungkin dapat dilupakannya terjadi ketika berkhidmat di TUDM Labuan pada 15 Oktober 1973.

Beliau dan Leftenan Muda Wee Kong Beng TUDM serta Kuatermaster Sarjan Hua dalam satu penerbangan telah menghadapi masalah kerosakan sehingga terpaksa melakukan pendaratan cemas.

Dalam usaha tersebut, ekor pesawat Nuri yang dipandunya patah semasa melakukan pendaratan. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Loading...