60 Peratus Manifesto PH Sudah Ditunaikan – Guan Eng

28

KUALA LUMPUR – Sebanyak 60 peratus daripada janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah ditunaikan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pada ketika ini, rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan PH bagi membetulkan masalah kewangan dan status ekonomi negara.

“Kami perlukan masa untuk reformasi, (sebarang perkara) sepanjang 60 tahun ditadbir kerajaan terdahulu tidak boleh ditukar sekali gus dalam masa tiga, empat tahun. Kita perlu yakinkan rakyat bahawa kita tidak pernah lupa janji-janji kepada mereka

“Kita perlu ingat kerana 1MDB kerajaan terdahulu tumbang. Kita perlukan masa dan takkan lari dan elak, malah akan berdepan dengan masalah kewangan serta berusaha untuk selesaikannya,” katanya ketika merasmikan Konvensyen DAP Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Sementara itu, Guan Eng ketika ditemui pemberita selepas itu menafikan dakwaan kononnya beliau mempunyai kaitan dengan bekas pemimpin utama Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.


“Ini pun ingin disebarkan, mereka cakap saya ahli keluarga, Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) ahli keluarga. Kita tak ada hubung kait dengan Chin Peng, nama keluarga mesti sama alau ahli keluarga tetapi nama keluarga pun tak sama, mengapa boleh jadi ahli keluarga?” katanya.

Sewaktu konvensyen itu, Guan Eng turut dikejutkan dengan sambutan hari kelahiran ke-59 oleh 107 perwakilan yang hadir. – BERNAMA