3 Ahli Parlimen Dibenar Hadir Dapat Kelulusan KP Kesihatan

KUALA LUMPUR – Tiga Ahli Parlimen yang kini dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) diberi kebenaran hadir ke Parlimen selepas mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Kesihatan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan ketiga-tiga Ahli Parlimen itu menulis untuk mendapatkan kebenaran hadir ke Dewan Rakyat daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Dr Noor Hisham meluluskan permohonan pelepasan masa pengundian untuk ketiga-tiga Ahli Parlimen itu bagi tempoh 14 hingga 17 Disember dalam surat jawapan bertarikh 14 Disember.

“Kebenaran itu diberikan secara bertulis,” katanya menjawab usul dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung kebenaran kehadiran tiga Ahli Parlimen yang menjalani HSO ke Dewan Rakyat dan terbabit dalam sesi pengundian belah bahagian, semalam.

Tiga Ahli Parlimen Tiga Ahli Parlimen berkenaan adalah Ahli Parlimen Tenggara yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan (Menteri Sumber Manusia); dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran (PH-Batu).

Menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai pengundian oleh tiga Ahli Parlimen tidak dijalankan di kerusi masing-masing, Azhar menyatakan beliau menetapkan ketiga-tiga Ahli Parlimen itu duduk di Galeri Awam, Dewan Rakyat. 

“Keputusan ini adalah berdasarkan peraturan mesyuarat 2 (2) maka mereka boleh mengundi dari tempat itu,” katanya.

Mengenai pengesahan pengenalan diri tiga Ahli Parlimen untuk pengundian seperti dikemukakan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), beliau menjelaskan kehadiran ketiga-tiga Ahli Parlimen itu dicatat Bentara dan mereka diiringi Bentara yang sama ke Galeri Awam untuk pengundian.

“Pengenalan diri juga disemak Bentara semasa Ahli Parlimen itu bergerak ke Dewan Rakyat untuk proses pengundian dan sekali lagi disemak ketika mereka mahu mengundi,” katanya.

Beliau menjelaskan pengecualian itu, bukan satu perkara yang baharu sebaliknya turut diberikan kepada orang awam termasuk pesakit dalam pemantauan (PUS) bagi menghadiri upacara pengebumian dan melawat orang sakit di hospital bagi kes kecemasan.

“Ketiga-tiga Ahli Parlimen berkenaan ditempatkan di satu bilik khas di bangunan Parlimen,” katanya.

Beliau turut menjelaskan memberi kebenaran pemakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada ketiga-tiga Ahli Parlimen berkenaan berdasarkan peraturan 41(F) dan mengambil kira situasi kesihatan dan keselamatan semua.

HSO untuk Dr Adham tamat semalam dan boleh hadir ke Parlimen hari ini manakala Prabakaran tamat hari ini dan boleh hadir ke Dewan Rakyat esok dan Saravanan pada Khamis ini. – BH Online