2 Termasuk Anggota Polis Cedera Diserang Parang Di Kuil

SHAH ALAM – Dua termasuk seorang anggota polis cedera apabila diserang menggunakan parang ketika cuba meleraikan pergaduhan di Kuil Kaliamman, Bestari Jaya, Kuala Selangor malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam, anggota polis berpangkat koperal dari Balai Polis Bestari Jaya berusia 34 tahun cedera di belakang tapak tangan kiri dan menerima enam jahitan. 

Sementara, seorang lagi yang cedera merupakan orang awam berusia 25 tahun yang putus sebahagian tapak tangan kiri dan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, sewaktu kejadian perarakan keagamaan sedang berlangsung sebelum berlakunya pertengkaran antara dua kumpulan mengenai pemasangan khemah. 

Katanya, pentengkaran itu kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan menggunakan parang.

“Pihak polis yang bertugas ketika itu cuba mententeramkan keadaan dan membuat tangkapan namun telah diserang mereka. 

“Seorang anggota polis berusia 34 tahun dari Balai Bestari Jaya telah cedera di belakang tapak tangan kiri dan menerima enam jahitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Fadzil berkata, turut cedera adalah seorang lelaki yang juga orang awam yang putus sebahagian tapak tangan kirinya. 

Jelas beliau, susulan kejadian itu seramai 28 lelaki telah ditangkap sekitar Kuala Selangor dan merampas lima bilah senjata tajam. 

“Kita akan memohon reman terhadap semua suspek yang ditangkap di Mahkamah Majistret Kuala Selangor. 

“Polis juga masih memburu suspek-suspek lain yang terlibat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen  148/326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...