LAHAD DATU – Manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah yang antara lain mengandungi pemerkasaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) membuktikan parti itu komited menjamin keselamatan rakyat Sabah khususnya di wilayah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Seorang penjawat swasta Nurliana Nurdin, 28, berkata komitmen itu amat penting bagi memastikan peranan dan tanggungjawab anggota keselamatan digembleng sepenuhnya dalam mengawal kawasan perairan tersebut demi keselamatan penduduk.
“Apabila anggota keselamatan ditambah serta kawalan keselamatan dipertingkat, sudah tentu orang ramai akan menganggap kawasan Esszone selamat didiami dan dikunjungi oleh orang luar,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk Baharuddin Labahu, 28, berkata kecekapan Esscom selama ini juga jelas menunjukkan pasukan berkenaan sentiasa bersiap siaga memastikan perairan Sabah terkawal dan masyarakatnya dapat hidup aman serta sejahtera.
“Sejak Esscom diwujudkan di Sabah, saya lihat Esscom memberi sumbangan besar terutama dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan seperti kes penculikan dan penyeludupan (migran atau barang kawalan),” katanya.
Justeru katanya, jika Esscom terus diperkasa, tidak mustahil untuk daerah itu mencapai jenayah sifar dari segi kesalahan melibatkan perairan pada suatu hari nanti.
Pandangan sama disuarakan oleh seorang pelajar Noridayah Samsudin, 23, yang menyifatkan manifesto memperkasakan lagi Esscom di daerah ini bersesuaian dengan amanah mencabar digalas anggota keselamatan menjaga kedaulatan negara.
“Tugas mereka sangat berat. Justeru, dengan penambahan aset-aset Esscom yang baru dan canggih membolehkan kekerapan rondaan dan kawalan keselamatan lebih ketat dilakukan oleh anggota keselamatan,” katanya.
Usaha memperkasa Esscom merupakan antara 20 komitmen BN Sabah dalam manifesto parti itu bagi Pilihan Raya Umum ke-14 yang diumumkan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang juga Pengerusi BN Negeri.
Manifesto BN Sabah juga antara lain akan memberi komitmen untuk memelihara hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan membasmi kemiskinan dengan memperbanyak program seperti Mini Estet Sejahtera (MESEJ). – BERNAMA