Pelajar Perlu Pilih Kerjaya Dengan Bijak – Mahdzir

KUALA LUMPUR – Para pelajar perlu membuat keputusan sebaiknya mengenai pilihan laluan kerjaya mereka bagi mengelakkan kerugian masa dan wang, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata perancangan kerjaya bukanlah tugas yang mudah kerana ramai pelajar mempunyai kecenderungan untuk membuat keputusan mengenai kerjaya mereka tanpa memahami atau mengetahui sepenuhnya tentang pilihan yang dibuat.

“Membuat pilihan yang salah boleh menyebabkan pelajar memilih kerjaya yang tidak menarik minat mereka dan tidak bersemangat, menyebabkan sukar untuk cemerlang dalam kerjaya mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian ‘1st Careers Unlocked! 2016’ bertemakan ‘Insights to Kickstart Your Future’ yang diadakan di Universiti Malaya di sini hari ini.

Teks ucapan Mahdzir dibacakan Ketua Setiusaha kementerian, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Sesi berkongsi kerjaya selama satu hari untuk pelajar dan siswazah itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Alumni Perdana Fellows dan Young Corporate Malaysians.

Mahdzir berkata program itu merupakan platform yang tepat untuk pelajar dan siswazah mendapatkan panduan dalam membuat keputusan yang betul mengenai laluan kerjaya mereka di masa hadapan.

Beliau berharap acara itu akan menjadi program tahunan yang terus berkembang pada masa hadapan dengan penyertaan lebih banyak industri dan pelajar yang terlibat. – BERNAMA

Loading...