KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensinya perlu memastikan pelaksanaan program pembangunan serta insentif baharu yang bakal diumumkan pada Bajet 2016 dilaksanakan serta merta.
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan perlu sentiasa peka dan memainkan peranan utama sebagai rakan niaga kepada komuniti perniagaan bagi memastikan sumbangan sektor perdagangan dapat merancakkan lagi ekonomi negara.
“Kecekapan penyediaan perkhidmatan juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan keperluan kumpulan sasar dalam dipenuhi,” katanya dalam ucapan beliau pada Majlis perhimpunan bulanan MITI @ SME Corp di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, Mustapa berkata, MITI dan agensinya perlu merancang penggunaan sumber secara lebih efektif terutamanya dalam kedudukan kewangan negara pada masa ini.
“Penggubalan bajet pada kali ini amat penting kerana ia akan mencorak pelaksanaan pelan pembangunan negara seperti yang telah dirangka di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11),” katanya.
Pada majlis yang sama, Mustapa turut melancarkan Sistem Penilaian Sendiri (e-score) yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan keputusan Penarafan Daya Saing PKS bagi Pengukuhan (SCORE) dengan segera dan telus.
Beliau berkata, sistem ini dibangunkan dalam bentuk berasaskan web, di mana tempoh masa proses penilaian SCORE dapat disingkatkan, di samping meningkatkan produktiviti dan penggunaan sumber tenaga dengan lebih efektif.
“Sehingga kini, SME Corp telah berjaya membangunkan tujuh jenis model SCORE bagi menepati sektor yang bersesuaian bagi setiap syarikat,” katanya. – BERNAMA