Makam Saddam Hussein Musnah Dibedil Daesh

BAGHDAD – Kompleks makam bekas presiden diktator Iraq, allahyarham Saddam Hussein musnah berikutan pertempuran paling ganas antara tentera pemerintah Iraq dengan militan Daesh bagi menawan semula bandar Tikrit.

Suatu ketika dulu, gambar-gambar besar potret bekas pemimpin tersebut pernah ‘meriah’ menutupi seluruh kawasan perkuburan mewah di perkampungan Al-Awja di bandar berkenaan namun kini, ia sudah tidak lagi kelihatan.

Apa yang tinggal, hanya tiang-tiang seri yang menyokong bumbung kawasan kompleks makam keluarga allahyarham Saddam tumbang menghempap bumi di desa yang terletak 13 kilometer di selatan Tikrit di tebing sungai Tigris.

Militan Daesh yang menguasai Tikrit sejak Jun tahun lalu mendakwa sudah pun berjaya memusnahkan kubur tersebut namun, para pegawai tempatan Iraq berkata kompleks makam tersebut hanya digeledah dan dibakar begitu sahaja.

Jenazah Saddam yang disemadikan di bandar kelahirannya di Al-Awja atau dieja Owja sejak 2006, juga sebenarnya telah pun dipindahkan ke tempat lain yang dirahsiakan lokasinya oleh penduduk Tikrit sebelum serangan Daesh bermula tahun lalu.

Allahyarham yang memerintah Iraq sejak 1979 sebelum digulingkan oleh tentera penceroboh Amerika Syarikat (AS) pada 2003, telah dijatuhi hukuman gantung tiga tahun kemudian kerana didakwa melakukan pelbagai jenayah kemanusiaan.

Beliau dihukum mati pada 30 Disember 2006 sebelum jenazah dikebumikan keesokan pada Hari Raya Aidiladha berdekatan dengan kubur dua anak lelakinya, Uday dan Qusay yang maut dibunuh pasukan komando AS pada 22 Julai 2003.

Pelaksanaan hukuman secara tergesa-gesa menjelang sambutan Hari Raya Korban itu menerima reaksi keras masyarakat Islam di seluruh dunia termasuk negarawan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penghinaan ke atas maruah Saddam.

Kira-kira 30,000 anggota tentera Iraq dibantu sukarelawan tempatan tanpa sokongan serangan udara tentera AS, berjaya memasuki Tikrit kelmarin, selepas operasi besar-besaran lebih 10 hari bagi mengusir militan IS. – Agensi