KUALA LUMPUR – Rekod kutipan barangan kitar semula di tujuh negeri meningkat sebanyak 44,215 kilogram (kg) sejak Akta 672 yang mewajibkan orang ramai mengasingkan sampah pepejal sebelum membuangnya ke dalam tong sampah dikuatkuasakan pada 1 September lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mantek berkata, peningkatan terbanyak direkodkan di Pahang, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan sebanyak 15,651kg barangan kitar semula dikutip, Pahang (22,146kg), Kedah (1,498kg), Negeri Sembilan (5,117kg), Melaka (5,394kg) dan Johor (4,486kg).
“Peningkatan kutipan barangan kitar semula ini merupakan satu indiator bahawa kebanyakan isi rumah di tujuh negeri ini menerima baik dan menjalankan pengasingan sisa pepejal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohammad dalam pada itu meningatkan pemilik premis di Kuala Lumpur, Pahang, Melaka dan Johor yang menerima notis amaran Akta 672 supaya melakukan pengasingan sisa pepejal seperti diarahkan bagi mengelak dikenakan kompaun.
Menurutnya, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memandang serius pelaksanaan Akta 672 dan akan menjalankan kempen berterusan bagi kesedaran orang ramai.
“Kementerian telah mengedarkan risalah ke 1,900,024 rumah yang terlibat dalam pelaksanaan peraturan tersebut,” katanya. – MYNEWSHUB.CC