Malaysia-Singapura Runding Semak Harga Air Mentah

KLANG – Rundingan semakan semula harga air mentah dengan Singapura dimulakan sebulan lalu, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, rundingan itu dilakukan Peguam Negara, Tommy Thomas dengan peguam negara republik berkenaan dan beberapa pertemuan akan diadakan berhubung perkara tersebut.

“Perbincangan tentang perjanjian air telah bermula. Kita ada 8 perkara yang sedang dirunding dengan Singapura dan perjanjian air adalah satu daripadanya.

“Ini kita anggap penting kerana sebelum ini, kita tidak dapat duduk semeja tentang isu tersebut,” katanya selepas melawat Rohingya Education Centre (REC) Klang, hari ini.

Mengenai respons Singapura berhubung rundingan itu, Saifuddin berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang rumusan, namun beliau menyifatkan usaha memulakan perbincangan itu satu langkah ke depan.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Saifuddin akan mengetuai kumpulan pegawai Malaysia dalam semakan semula harga air mentah yang dijual kepada Singapura.

Tanpa mendedahkan butiran terperinci bila rundingan akan dilakukan, Dr. Mahathir berkata, kumpulan pegawai yang berunding itu “sedang mengusahakannya” dan ia turut dianggotai pegawai berkaitan dari Johor.

Isu berkaitan perjanjian itu muncul kembali pada pertengahan tahun lalu, apabila Dr. Mahathir mengkritik harga air mentah yang dijual kepada Singapura sebagai “tidak masuk akal” dan berkata, beliau bercadang merundingkan semula terma perjanjian itu.

Perjanjian air itu yang berakhir 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mendapatkan sehingga 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor.

Singapura membayar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Johor memperoleh bekalan harian air terawat sehingga 2% atau 5 mgd air yang dibekalkan kepada republik itu. – BERNAMA