Keputusan Pengundi Saman SPR Pada Isnin Ini

MAHKAMAH Tinggi di Shah Alam hari ini menetapkan Isnin ini untuk membuat keputusan berhubung kes saman yang difailkan seorang pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim SM Komathy menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Selain SPR, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff , 58, selaku plaintif turut menamakan Pengerusi SPR, Azhar Azizan @ Harun serta Kerajaan Persekutuan sebagai defendan kedua dan ketiga.

Plaintif diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz sementara kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad dan Datuk Amarjeet Singh.

Shaharudin ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pihaknya ketika berhujah kekal dengan pendirian bahawa SPR pada 18 Januari lepas tidak wujud dengan hanya seorang pengerusi yang menguruskan hal-hal rasmi suruhanjaya itu selepas timbalan pengerusi SPR dan lima lagi anggotanya telah meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lepas.

“Mereka turut berhujah dari segi Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Akta Pilihan Raya, kena keluarkan writ (untuk menjalankan pilihan raya) dalam masa 10 hari selepas kekosongan itu berlaku, jadi mereka hujahkan cukup atau tidak cukup korum (ahli SPR) kena jalan juga (pilihan raya) sebab mereka terikat kepada undang-undang begitu,” katanya.

Dalam tuntutan saman yang difailkan pada 8 Februari lepas, plaintif memohon perintah deklarasi bahawa entiti SPR tidak wujud dan tidak sah dan atau tidak berperlembagaan selepas 1 Januari lepas menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif juga memohon perintah deklarasi bahawa mesyuarat SPR bertarikh 18 Januari lepas yang dipengerusikan oleh Azhar seorang diri tanpa keanggotaan timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang lain adalah tidak sah, batal dan melanggar Fasal sama, serta kesemua keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu tidak sah, batal dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Azhar.

Enam bekas anggota SPR itu ialah Tan Sri Othman Mahmood (bekas Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K. Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong.

Selain itu, Sabariah memohon injunksi larangan untuk menghalang defendan kedua (Azhar) daripada bermesyuarat dan atau meneruskan, melaksanakan, menjalankan atau sebarang tindakan atau perbuatan mengendalikan atau menganjurkan dan atau melaksanakan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih sehingga keanggotaan penuh SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

SPR sebelum ini menetapkan PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini.

Pada 14 Februari lepas, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar mengumumkan pelantikan lima anggota SPR yang baharu, iaitu Profesor Madya Dr. Azmi Sharom (timbalan pengerusi), Datuk Seri Ramlan Ibrahim, Datuk Chin Phaik Yoong, Profesor Madya Dr. Faisal S. Hazis dan Zoe Randhawa. – BERNAMA