Kawal Perasaan Ketika Mendengar Ceramah – Polis

IPOH – Orang ramai diingatkan supaya mengawal perasaan dan jangan terlalu mengikut emosi ketika mendengar ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga menimbulkan provokasi terhadap pihak tertentu.

Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Perak, ACP Shaharon Anuar Abdul Latif berkata orang ramai juga hendaklah merujuk kepada pihak polis jika terdapat sebarang masalah ketika berkempen.

Beliau berkata sebanyak 72 ceramah diadakan di seluruh negeri ini semalam dan daripada jumlah itu 20 ceramah diadakan tanpa permit.

Sehubungan itu beliau mengingatkan calon-calon yang bertanding mewakili parti politik yang berbeza supaya tidak mengadakan ceramah secara serentak di lokasi yang sama bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Shaharon berkata sejak Sabtu lalu sehingga semalam, pihaknya telah membuka tiga kertas siasatan dengan dua tangkapan dibuat daripada 10 laporan yang diterima membabitkan kes PRU14 ,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata polis sedang menyiasat aduan seorang lelaki yang mendakwa menerima surat mengandungi butiran peribadinya selain gambar bogel yang diubah suai serta lambang sebuah parti.

“Individu tersebut bukanlah calon kepada mana-mana parti. Namun, kita masih lagi menyiasat kes ini di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA