Aidilfitri: Kerajaan Digesa Tiadakan Bunga Api, Mercun

86
Aidilfitri: Kerajaan Digesa Tiadakan Bunga Api, Mercun
Aidilfitri: Kerajaan Digesa Tiadakan Bunga Api, Mercun

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu kerajaan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas mereka yang bermain mercun dan bunga api pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Tegas beliau, akta sedia ada seolah-olah tidak dihiraukan iaitu Akta Bahan Letupan 1957 Seksyen 4 (2) yang memperuntukkan penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya ke atas mereka yang memiliki dan mengimport mercun atau bunga api.

“Persoalannya sejauh mana penguatkuasaan akta dan undang-undang ini dilaksanakan?

“Saban tahun setiap kali musim perayaan, pasti ada kes berkaitan mercun atau tragedi malang membabitkan kanak-kanak menjadi mangsa mercun. Kes pertama Ramadan tahun ini melibatkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun cedera akibat bermain mercun bola di Kampung Rusila, Marang, Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Manivanan berkata, kerajaan juga wajar mengutamakan kempen kesedaran masyarakat khususnya kepada ibu bapa yang kurang memberi pengkhususan kepada bahayanya mercun keran tahap kesedaran mereka ditahap yang amat membimbangkan.

Justeru, beliau mencadangkan perkara berikut:

i. Agensi – agensi kerajaan wajar melakukan pemantauan dan kawalan secara holistik di dalam negara untuk membanteras kegiatan jualan mercun.


ii. Agensi – agensi kerajaan wajar mengenalpasti, mengawas dan mengawal kawasan penyeludupan terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand.

iii. Pelaksanaan undang – undang sedia ada seperti Akta Bahan Letupan 1957 wajar dipraktikkan secara umum.

iv. Akta Bahan Letupan 1957 wajar dibawa ke Parlimen untuk penambahbaikan dan beberapa seksyen baru perlu diselitkan supaya kegiatan ini dapat dibendung secara menyeluruh.

v. Kempen kesedaran wajar diutamakan di peringkat sekolah supaya kanak – kanak memahami akan bahayanya bermain mercun. Kempen kesedaran ini juga perlu dipanjangkan kepada pihak ibu bapa supaya mereka mampu memantau dan mengawal tindakan kanak – kanak. – MYNEWSHUB.CC