Lelaki Bersenjata Ada Dokumen Daesh Dicekup Di LRT Jelatek

KUALA LUMPUR –  Sekalipun belum ada butiran yang lebih lanjut mengenai berita ini, namun perkembangan terbaharu ini sudah tentu mencuri perhatian masyarakat di Malaysia dan juga seluruh dunia.

Apa lagi selepas kejadian serangan nekad berani mati pengganas Daesh pusat bandar raya Jakarta, Indonesia pada Khamis lalu yang mengorbankan tujuh orang termasuk lima penyerang kumpulan militan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya pagi Sabtu cuma kicau: “Syabas E8 CK @PDRMsia semlm tkap 1 (L) disyaki elemen IS di LRT Jelatik, Ampg. Senjata dan dokumen IS dirampas. #GoPDRMGo.”

Apa yang beliau maksudkan ialah pasukan Cawangan Khas Anti Pengganas atau E8 Bukit Aman berjaya menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan Daesh atau juga disebut IS di ibu negara, pada Jumaat.

Lebih memeranjatkan, Khalid menyatakan bahawa lelaki yang ditahan polis di stesen LRT Jelatek dekat Datuk Keramat itu ditemui ada membawa bersama-samanya senjata dan dokumen berkaitan Daesh.

Dalam pada itu, laporan berita RTM pada Sabtu menyatakan suspek yang ditahan mengaku merancang mengebom tempat tertentu di Kuala Lumpur setelah menerima arahan daripada ketua militan itu di luar negara.

Penolong Pengarah E8, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay kemudian mengesahkan kepada agensi AFP bahawa sebilah pisau dan dokumen-dokumen ISIS dirampas di rumah suspek warga tempatan berusia 28 tahun itu.

Sebelum ini Khalid sudah mengumumkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meningkatkan langkah keselamatan tahap tertinggi ekoran serangan bom secara mengejut oleh militan Daesh di Jakarta.

Antara diberi tumpuan khusus ialah sekitar kompleks beli belah serta kawasan tarikan pelancong asing malah langkah ketat akan diambil untuk cegah kemungkinan penyusupan elemen penganas di sempadan negara.

Mereka yang disyaki ada kaitan dengan pengganas akan dipantau rapi bahkan Khalid memberitahu, ia sudah lama diambil berikutan beberapa kejadian melibatkan pengganas di seluruh dunia beberapa bulan kebelakangan ini.

Ini termasuk penahanan lebih 150 suspek sejak dua tahun lalu yang dipercayai ada kaitan rapat dengan kumpulan ekstremis Daesh dan ada dikesan merancang untuk mengebom beberapa kawasan sensitif di Kuala Lumpur.

Baca: Jakarta Dibom: PDRM Tingkat Berjaga Tahap Tertinggi

Juga: Singapura Ketat Keselamatan Pasca Jakarta Dibom

Lagi: Daesh Pernah Ancam Bom Jakarta – Polis Indonesia

Dan: Tauke Kafe Siber, Mahu Jadi Ketua Daesh Serantau

– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...