Beberapa Fakta Penting Untuk Pelancong Ke Taiwan

KALAU anda sudah menetapakan destinasi pelancongan seterusnya adalah Taiwan atau merancang ke negara itu, adalah lebih baik jika anda mengetahui serba sedikit mengenai negara pulau indah berkenaan.

Di mana terletaknya Taiwan?

Untuk pelancong Asia terutama Malaysia, rasanya tidak ada masalah untuk mengetahui kedudukan negara berkenaan. Namun, jangan terperanjat kerana ada sesetengah orang terutama dari Eropah yang mungkin terkeliru dengan Thailand. Taiwan adalah sebuah pulau besar dengan keluasan hampir 36,000 kilometer persegi di Lautan Pasifik berhampiran Tenggara negara China dan utara Filipina. Apa pun, lihat la peta yang disediakan untuk gambaran lebih jelas.

Adakah ia negara mesra pelancong muslim?

Sudah semestinya ia sebuah negara yang senantiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk para pelancong beragama Islam. Hakikat itu terzahir dalam kesungguhan yang dipaparkan pihak Tourism Taiwan dan kerajaan negara itu yang berkerjasama secara berterusan dengan Persatuan Cina Muslim Taiwan bagi memastikan aspek-aspek halal dititik-beratkan.

Semakin banyak restoran yang mendapat pensijilan halal. Kawasan seperti stesen keretapi turut disediakan dengan surau dan tempat mengambil wuduk. Hotel-hotel juga semakin banyak yang menyediakan kemudahan mesra muslim seperti tandas dengan saluran air bagi tujuan membersihkan diri.

Ramai pelancong muslim pelbagai negara boleh melawat Taiwan tanpa perlu mendapatkan visa. Selain itu, bilangan masjid di negara itu juga semakin bertambah bagi tujuan menampung jemaah muslim tempatan dan luar.

Apakah musim terbaik untuk melawat Taiwan?

Terpulang pada diri masing-masing. Namun ramai terutama pada Eropah memilih musim luruh antara pertengahan September ke pertengahan November kerana cuaca di negara itu masih nyaman melebihi 20 darjah celsius. 

Musim bunga satu lagi pilihan yang terbaik. Anda akan berpeluang menyaksikan pokok ceri dan bungaan lain berkembang menjadikan Taiwan sebuah taman yang besar dan indah. Masa yang baik juga untuk mereka yang gemarkan aktiviti mendaki dan berjalan kaki.

Januari dan Februari adalah bulan yang paling sejuk. Secara purata, musim panas di sana adalah antara 28 hingga 29 darjah celsius.

Apakah anda memerlukan visa untuk ke sana?

Baca: 5 Alasan Terbaik Memilih Taiwan Bagi Pelancong Muslim

Pelancongan Malaysia tidak memerlukan visa. Seperti yang disebutkan sebelum ini, ia adalah sebuah negara yang amat mengalu-alukan orang luar datang berkunjung. Asal jangan datang dengan niat untuk duduk terus dan mencari kerja secara haram, maka kedatangan anda akan disambut dengan tangan yang terbuka. Cuma bersedia dengan bukti yang anda akan pulang selepas melancong seperti tiket kapal terbang untuk perjalanan pulang.

Adakah selamat untuk melawat Taiwan?

Sudah semestinya. Anda boleh membaca macam-macam pengalaman positif pelancong serata dunia yang pernah menjejakan kaki ke sana.

Penulis sendiri sempat membaca pengalaman seorang pelancong solo wanita dari Republik Czech yang berkata dia merasa lebih selamat di Taiwan berbanding negaranya sendiri.

“Selama dua tahun saya di sini, saya tidak pernah mengalami sebarang serangan atau kecurian barangan, malah barang saya yang hilang dipulang balik. Saya pernah tertinggal beg tangan saya di satu majlis umum, individu yang menemui beg saya itu telah menghubungi ramai kenalan dalam telefon bimbit semata-mata untuk mengesan dan memulangkan beg berkenaan kepada saya,” katanya.

Cuma beliau mensihatkan agar berhati-hati sedikit dengan sikap pemandu dan jalan raya di negara itu. Ada sesetengah mereka terutama penunggang skuter yang agak berbahaya cara mereka menunggang kenderaan itu. Untuk lebih selamat, beliau mencadangkan agar pelancongan menggunakan pengangkutan awam atau mengelak menaiki skuter.

Bergerak di sana

Kalau anda melancong dengan syarikat pelancongan, perkara ini anda tidak perlu fikir.

Jika anda bergerak secara backpackers, anda perlu berusaha sendiri. Namun jangan risau, Taiwan memiliki rangkaian pengangkutan awam yang terbaik. MRT dan metro tempatan adalah antara cara bergerak yang terbaik dan murah. 

Anda boleh membayar tiket sama ada menggunakan tunai, kad kredit atau Easy Card. Kalau merancang duduk lama, beli tiket yang ada diskaun untuk penjimatan yang menakjubkan.

Anda juga boleh menyewa kereta atau keretapi untuk ke banyak bahagian di Taiwan.

Berbasikal satu aktiviti yang sangat menarik dan pilihan yang menarik untuk bergerak di negara itu.

Harga barangan 

Secara jujur tidak la terlalu murah tetapi masih lebih baik berbanding Jepun atau Hong Kong.

Harga makanan di negara itu munasabah tetapi harga penginapan (hotel) agak mahal.

Namun, kalau anda memilih untuk melancong dengan mana-mana agensi pelancongan dan mengambil pakej tertentu, masalah ini tidak perlu dilalui. Apa pun, masih ada hotel-hotel bajet yang mungkin sesuai dengan anda.

Bahasa di Taiwan

Majoriti rakyatnya bertutur Mandarin dan sebahagian pula Hokkien. Namun, komunikasi dalam bahasa Inggeris bukan masalah walaupun setengah rakyatnya agak pemalu untuk bercakap dalam bahasa itu.

Namun, kemesraan penduduknya pasti mengamit perasaan dan apa yang susah, akan menjadi mudah.

Tahu beberapa perkataan mudah seperti zao an yang bermaksud selamat pagi, xie xie (terima kasih), bu ke qi (sama-sama), dui bu qi (maafkan saya), dua shao qian (berapa harganya), zai jian (jumpa lagi) dan lain-lain sudah pastinya akan mengukir senyuman di wajah rakyat sana. – Mynewshub.TV

Loading...