KUALA LUMPUR : Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2022 bagi memperkukuh kawalan ke atas racun dan bahan psikotropik serta memberi fleksibiliti dalam pengendalian racun untuk tujuan sah, selain selaras dengan keperluan semasa.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pindaan bagi Akta Racun 1952 (Akta 366) itu, antara lain menaikkan penalti bagi kesalahan berhubung pengimportan, pengeksportan, pembuatan, penyebatian, pencampuran, pendispesan, penjualan, pembekalan, pemberian, pemilikan atau penggunaan mana-mana bahan psikotropik yang tidak mengikut peraturan Akta 366.
Mereka yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu akan dikenakan penalti RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, berbanding RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, ketika ini.
Selain itu, beliau berkata, pindaan kepada akta itu juga akan memasukkan seksyen baharu, antaranya mengadakan peruntukan kuasa bagi pegawai yang berkenaan berhubung penguatkuasaan, pemeriksaan dan penyiasatan serta menggeledah premis dan menyita apa-apa bahan dan artikel yang disyaki melanggar Akta 366.
Selain itu, ia turut memasukkan peruntukan tiada kos atau ganti rugi yang berbangkit daripada kemasukan, penggeledahan atau penyitaan boleh didapatkan kembali melainkan jika ia dibuat tanpa sebab yang munasabah.
-Berita Harian


