KUALA KRAI : Kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) yang kritikal akibat ‘termakan’ dadah sebelum ini sudah pulih sepenuh selepas lebih sebulan menerima rawatan di hospital.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, ibu kepada kanak-kanak itu, Rohaya Hassan, 36, berkata, dia bersyukur dan gembira selepas melihat anaknya sudah pulih dan kembali aktif bermain dengan adik beradik yang lain.
Menurutnya, sejak kejadian tersebut dia tidak lagi meninggalkan anak bongsunya itu dan selalu membawanya setiap kali mahu keluar dari rumah.
“Lebih seminggu anak saya dibenarkan pulang ke rumah dan alhamdulillah keadaannya semakin pulih,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Rohaya memberitahu, anaknya itu sudah mampu bergerak seperti biasa namun belum dapat berjalan sebagaimana kanak-kanak normal yang lain.
“Lebih menggembirakan lagi, anak saya sudah mampu makan seperti biasa sejak tiub di hidungnya untuk membekalkan susu ditanggalkan.
“Saya hanya bersyukur kerana anak makin bertambah sihat dan dapat menyambut Hari Raya Aidiladha bersama-sama di rumah baru-baru ini,” jelasnya.
Utusan Malaysia 20 Jun lalu melaporkan, seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini dilaporkan kritikal selepas pemeriksaan mendapati tubuhnya tinggi dengan kandungan dadah jenis methamphetamine.
Kejadian itu disedari oleh ibunya kira-kira pukul 5 pagi apabila mendapati kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan lemah dan muka bertukar biru sebelum membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.
-Utusan Online


