Melaka : Peniaga dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki, enam tahun lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin menjatuhkan hukuman itu terhadap S Pandiaraj, 33, selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di hujung pembelaan kes.
Tertuduh yang berpakaian putih kelihatan tenang sejurus hakim menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Ahmad Nasfy berkata, kecederaan dialami mangsa tidak konsisten dengan kemalangan jalan raya selain mahkamah berpuas hati dengan keterangan forensik perbuatan tertuduh dengan rakan-rakan menyebabkan kecederaan fatal.
“Selepas menimbang dengan berhati-hati, mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh telah gagal menimbulkan keterangan munasabah.
“Di akhir kes pembelaan, mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwaan. Mahkamah memutuskan tertuduh bersalah dan disabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain mahkamah tiada opsyen selain hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa bagi mencapai niat bersama menyebabkan kematian terhadap S Ammos Devaprraven, 27, di Jalan Tun Ali, jam 4.30 pagi pada 23 Oktober 2016.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Paul Krishnaraja.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa dibawa ke Hospital Melaka oleh dua individu dan membuat satu laporan palsu bahawa mangsa dilanggar lari.
Seorang daripada individu berkenaan kemudian menghubungi abang mangsa dengan memaklumkan perkara sebenar pemuda itu dipijak di muka.
Pada prosiding itu, seramai 16 saksi pendakwaan dikemukakan bagi memberi keterangan.
-Harian Metro


