KUALA PERLIS – Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron, yang akan bersara wajib Sabtu ini, berpuas hati dengan pencapaian pasukan keselamatan itu yang berjaya menurunkan kadar jenayah di negeri ini.
“Dari Julai 2011 (sejak memegang jawatan Ketua Polis Perlis) hingga sekarang, kegiatan jenayah menurun setiap tahun.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota pasukan kerana memberikan perkhidmatan yang cemerlang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program ‘Kayuhan Polis Perlis Cycling Team Bersama Ketua Polis Perlis’ di sini hari ini.
Dalam fasa kedua kayuhan sejauh 45 kilometer itu, Zull Aznam disertai 66 pegawai dan anggota telah singgah di balai-balai dan pondok-pondok polis untuk bertemu anggotanya sebelum bersara.
Kayuhan itu bermula di UPP Kuala Perlis-Balai Polis Kuala Perlis-PGA Batu Putih-Pondok Polis Kuala Sanglang-Balai Polis Simpang Empat dan tamat di UPP Kuala Perlis semula dalam masa lebih tiga jam.
Fasa pertama semalam sejauh 87 km mengambil masa lima jam bermula di Balai Polis Beseri-Kaki Bukit-Padang Besar-UPP Chuping-Pondok Polis Chuping-Pondok Polis Kok Klang-Pondok Polis Pauh-Balai Polis Mata Ayer dan tamat di Balai Polis Beseri semula.
Zull Aznam berkata kejayaan polis membanteras jenayah adalah kerana kerjasama baik yang diberikan oleh anggota masyarakat berikutan hubungan baik kedua-dua pihak.
“Saya berterima kasih kepada masyarakat dan berharap kerjasama itu diteruskan agar rakyat dapat hidup dengan aman, damai dan berasa selamat selalu,” katanya. – BERNAMA
