KUANTAN – Rapid Kuantan bakal menggunakan Sistem Bas Bersepadu (Bus Integrated System – BIS), iaitu sistem yang lebih cekap dalam pengendalian perkhidmatan seharian bas Rapid Kuantan.
Ketua Pegawai Operasi Rapid Kuantan Zainurul Hakim Mohamad berkata BIS yang mula dibangunkan pada April 2013 dijangka selesai sepenuhnya dan diaktifkan pada 31 Mei ini.
Menerusi BIS, perkhidmatan bas Rapid Kuantan akan disokong oleh Sistem Perancangan dan Penjadualan, Sistem Pengesanan Bas, Sistem Maklumat Pengguna, Sistem Pungutan Tambang Automatik di samping beberapa sistem lain termasuk sistem di dalam bas meliputi kamera litar tertutup, paparan informasi di dalam bas, sistem komunikasi dan butang kecemasan.
“Ini adalah satu inisiatif kerajaan, Prasarana dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi menghasilkan sistem untuk memberi keselesaan pengguna serta perkhidmatan bertaraf dunia,” katanya pada sesi taklimat kepada media mengenai pengenalan BIS di Ibu Pejabat Rapid Kuantan di sini, hari ini.
Zainurul berkata, projek di bawah seliaan anak syarikat Kumpulan Prasarana iaitu Prasarana Integrated Management & Engineering Services Sdn Bhd (PRIME) itu, menggunakan kepakaran syarikat GMV Sistemas yang berpangkalan di Sepanyol yang berpengalaman luas membangunkan sistem pengangkutan awam di seluruh dunia.
Katanya sistem itu akan menjadikan Rapid Kuantan sebagai operator pertama di Malaysia yang mempunyai BIS dan sebagai penanda aras bagi Kumpulan Prasarana serta Rapid Bus Sdn Bhd menghasilkan satu sistem pengurusan operasi bas terbaik serta model rujukan untuk digunakan di kawasan lain.
Melalui sistem baharu itu juga katanya, para pelanggan boleh menggunakan Kad MyRapid termasuk kad MyRapid konsesi pelajar (berumur 17 tahun dan ke bawah), Warga Emas (berumur 60 tahun ke atas) serta konsesi Orang Kurang Upaya (OKU) bagi urusan pembayaran tiket tanpa tunai.
Kad MyRapid boleh didapati di Kaunter Pendaftaran Pelanggan yang beroperasi di Terminal Hentian Bandar dijual dengan nilai RM20 serta boleh ditambah nilai dengan jumlah RM10 hingga RM300.
Beliau berkata, pengguna Kad MyRapid akan mendapat diskaun 20 peratus daripada kadar tambang untuk perjalanan mulai 31 Mei hingga 31 Julai dan diskaun 10 peratus kadar tambang akan diberi mulai 1 Ogos dan seterusnya.
Tujuan pemberian diskaun itu katanya, adalah bagi menggalakkan pembayaran sistem tanpa tunai berbanding tunai di kalangan warga Kuantan.
Rapid Kuantan yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 November 2012 berkembang daripada tiga laluan kepada 16 laluan dan mencatatkan purata 15,000 pengguna sehari dan 30,000 pengguna pada hari puncak. – BERNAMA