SIBU – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, Pejabat Mufti Sarawak perlu menjalankan kajian mendalam sebelum mengeluarkan sebarang fatwa.
Ini kerana Pejabat Mufti merupakan penasihat kepada kerajaan dalam semua perkara berkaitan fatwa selain sebagai tempat rujukan utama kepada umat Islam di negeri ini, katanya pada seminar fatwa peringkat negeri selama tiga hari yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Kompleks Islam Sibu di sini.
Teks ucapan Adenan disampaikan Menteri Perumahan Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Adenan berkata para penyelidik juga perlu mempertimbang aspek kontemporari dan saintifik selain mengambil kira aspek klasik.
“Penyelidikan perlu didokumentasikan bagi membolehkan sebarang permohonan untuk kajian semula fatwa atau jika terdapat kumpulan yang ingin mencabarnya,” katanya.
Mengenai peranan Lembaga Fatwa Negeri, Adenan berkata ia amat relevan dalam membuat keputusan yang tepat bagi menangani isu-isu semasa yang melibatkan masyarakat Islam.
Bagaimanapun, ketua menteri berkata semua usaha yang diambil kerajaan negeri melalui institusi mufti dan agensi-agensi berkaitan untuk menegakkan fatwa akan gagal tanpa sokongan umat Islam.
“Oleh yang demikian, saya menggesa mereka supaya sentiasa mempunyai pengetahuan yang baik mengenai sebarang fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti dan peka tentang peranan mereka untuk mematuhinya,” katanya. – BERNAMA

