KUANTAN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang telah melakukan pemeriksaan di 86 daripada 178 tapak pembinaan di seluruh negeri dalam usaha memerangi pembiakan nyamuk aedes yang menyebabkan denggi.
Pengarahnya Ahmad Fauzi Awang berkata pemeriksaan dilakukan di 55 tapak pembinaan di daerah Kuantan, Temerloh (10 tapak), Pekan (sembilan), Jerantut dan Maran masing-masing enam tapak.
“Menerusi pemeriksaan itu, kami telah mengeluarkan satu notis tutup serta-merta, lima tapak binaan diberi notis dua hari manakala 29 surat arahan dikeluarkan untuk menghapuskan punca denggi itu,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Katanya, laporan pemeriksaan dan tindakan itu disalurkan kepada Jawatankuasa Memerangi Denggi peringkat negeri pada setiap minggu yang berfungsi meninjau peranan jabatan dan agensi yang terlibat untuk memerangi denggi.
Katanya, pemeriksaan di semua tapak pembinaan di negeri ini dijangka dapat diselesaikan menjelang hujung Oktober ini manakala pemeriksaan ulangan juga akan dilakukan berpandukan kepada laporan daripada Jabatan Kesihatan Pahang. – BERNAMA