
SINGAPURA – Setelah lama dikritik, Johor akhirnya boleh berbangga apabila projek kereta api berkelajuan tinggi atau HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura bakal berhenti singgah di tiga buah stesen di negeri tersebut.
Berita gembira itu diumumkan pada pemukiman pemimpin kerajaan dua negara apabila mengesahkan projek HSR tersebut turut akan transit di stesen Nusajaya, Batu Pahat dan Muar selain Seremban dan Ayer Keroh.
Pelaksanaan projek mega yang dipersetujui sejak 2013 lalu sekali gus bakal mengubah landskap pembangunan tiga daerah Johor itu yang memang langsung tiada laluan kereta api sejak sekian lama selain jirannya, Melaka.

Kerajaan Johor selain beberapa parti politik dan badan tempatan sebelum ini mengkritik cadangan projek bernilai RM80 bilion itu kerana dianggap meminggirkan negeri tersebut walaupun landasan HSR jelas melalui Johor.
Pada program pemukimam tahunan kali ini, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, dalam pertemuan dengan rakan sejawatan dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak; turut mengumumkan stesen di pulau itu.
Pemimpin republik tersebut dilaporkan stesen penyiaran Channel NewsAsia pada Selasa menyatakan hentian terakhir HSR di Singapura ialah Jurong East; terletak tidak jauh dari kawasan pusat bandar raya negara itu.
Ia menamatkan spekulasi teka-teki apabila tahun lalu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) juga mencadangkan dua tempat lagi iaitu Tuas West dan Downtown Core, tetapi akhirnya ditolak kerana lokasi yang kurang sesuai.

Pemilihan tempat berkenaan ujar Hsien Loong; dibuat selaras dengan rancangan pembangunan induk oleh pemerintah untuk menjadikan Jurong East sebagai daerah perniagaan sentral (CBD) yang kedua di Singapura.
Kawasan itu yang mula dibuka sejak 1970 berkeluasan 3.8 kilometer persegi dengan penduduk 29,000 orang juga bersebelahan dengan dermaga utama pelabuhan Jurong dan bekas tapak stesen kereta api Tanjong Pagar.
Projek HSR bakal memendekkan masa perjalanan sehingga 90 minit berbanding kereta api biasa selama 7 jam, jalan raya pula 5 jam atau 3 jam dengan kapal terbang termasuk proses daftar masuk, bagasi dan sebagainya.
Pembinaan dijangka bermula pada tahun hadapan dan siap menjelang 2020 dengan landasan sepanjang 400 kilometer, manakala kelajuan tren itu dianggarkan sekitar 300 kilometer sejam. – Agensi/H.A.AMREE

