ROMPIN – Pengundi-pengundi Rompin yang menyokong BN diminta keluar mengundi pada PRK Parlimen Rompin Selasa ini bagi memastikan kemenangan parti itu sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Calon BN, Datuk Hasan Arifin juga meminta para penyokong BN supaya membantu menyakinkan keluarga dan rakan bahawa hanya parti itu pilihan terbaik yang dapat meneruskan pembangunan di kawasan berkenaan.
“(Justeru itu,) kemenangan BN pada Selasa ini bukan untuk diri saya, tetapi pada parti dan juga sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri kita.
“Di saat Perdana Menteri kita diserang dan dicabar pelbagai sudut, kita harus tunjukkan tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk menyatakan pendirian teguh kita di bawah pimpinan beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Kelab Integriti Usahawan dan Kesukarelawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Rompin oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi di sini, hari ini.
Kelab itu ditubuhkan bagi mewujudkan komuniti peserta AIM yang lebih kukuh sekali gus menjadi platfom untuk mengumpulkan usahawan AIM di peringkat mikro, kecil dan sederhana di bawah satu bumbung.
Lebih 1,000 peserta AIM dari sekitar kawasan Rompin dan Mersing, Johor menghadiri majlis itu.
PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Hasan dan calon Pas Nazri Ahmad berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Sebanyak 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi awal telah menjalankan tanggungjawab mereka semalam, di empat pusat pengundian dan sejumlah 52,744 lagi pengundi akan berbuat demikian pada Selasa depan. – BERNAMA
https://youtu.be/zcbZGqd5514