KUANTAN – Masyarakat majmuk di negara ini perlu bebas daripada melakukan sebarang tindakan keganasan, sebaliknya menghormati satu sama lain meskipun mempunyai perbezaan dari segi agama, bahasa serta budaya, dalam usaha mengekalkan keharmonian.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan keganasan terutama atas nama agama sememangnya dilarang kerana ia membawa banyak keburukan dan kemusnahan terhadap negara.
“Kita hidup dalam masyarakat majmuk yang memiliki banyak perbezaan seperti agama, bahasa dan budaya. Jadi keharmonian itu cukup penting dan paling ditekankan ialah kita perlu menghormati agama lain serta jangan sekali-kali melakukan sebarang tindakan keganasan kerana perbezaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Larian Anti Keganasan 2015 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 5, Taman Gelora di sini.
Hadir pada program itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi MCPF Pahang, Datuk Seri Johny Ch’ng.
Sejumlah 5,000 pelajar SMK Tanah Putih menyertai program larian itu yang turut dimeriahkan dengan pelbagai gerai pameran.
Ahmad Zahid berkata agama Islam yang juga agama rasmi dan dianuti majoriti rakyat di negara ini menentang keganasan atas dasar agama, malah menyeru umatnya agar sentiasa hidup dalam keadaan aman dan saling menghormati.
“Saya memetik ayat al-Quran daripada surah Al-Kafirun ayat keenamterjemahannya iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’.
“Ini jelas menunjukkan kita bebas mengamalkan agama masing-masing tetapi dalam melaksanakannya kita harus menghormati agama lain,” katanya.
Sementara itu, Lee berkata beliau menyokong kenyataan Ahmad Zahid dan menyeru masyarakat agar menentang aktiviti keganasan.
“Kita anti kepada sebarang tindakan keganasan dan cubalah melihat dari aspek keharmonian yang telah lama dipupuk di negara ini.
“Dalam pada itu konsep kesederhanaan atau wasatiyyah dalam masyarakat perlu diterapkan selain meningkatkan kesedaran bahawa keganasan boleh mengancam negara dan menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya. – BERNAMA
https://youtu.be/8E-fWWCROk4

