BUTTERWORTH – Dua lelaki cedera parah diserang sekumpulan lelaki di tempat letak kenderaan di sebuah flat di Perai, di sini awal hari ini.
Jurucakap polis berkata dalam kejadian pukul 6 pagi itu, dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun itu baru sahaja meletakkan kereta mereka di tempat letak kenderaan berkenaan sebelum dihampiri enam lelaki yang menyerang mereka menggunakan parang dan kayu.
“Siasatan awal mendapati dua lelaki itu dalam perjalanan pulang ke rumah rakan mereka di flat berkenaan. Akibat serangan itu, lelaki berusia 26 tahun mengalami luka di kepala, kesan tetakan di muka dan pendarahan di otak.
“Rakannya pula cedera di kepala, bengkak kedua-dua mata akibat ditumbuk dan retak tulang muka sebelah kiri,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata dua lelaki itu kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Jurucakap itu berkata polis telah mengambil rakaman CCTV yang terdapat di lokasi kejadian untuk siasatan.
Sementara itu pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang ACP P.R Gunarajan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata motif kejadian masih disiasat.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA

