KIMANIS – Rakyat sentiasa di hati pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), tegas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Justeru kata Musa kerajaan BN akan terus berusaha membela nasib rakyat melalui pelbagai program dan projek termasuk program Mini Estet Sejahtera (Mesej) bagi memastikan hidup rakyat, tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan kepercayaan serta di mana sahaja mereka berada, terus sejahtera.
“Ini usaha kami, usaha kerajaan untuk memastikan rakyat terus terbela. Kami sedar masih banyak yang perlu lakukan,tetapi yang penting rakyat sentiasa di hati kami. Kami sentiasa mengetahui bahawa ini (membela rakyat) adalah tangungjawab kami,” katanya.
Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesej Kinolosodon dekat sini hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Radin Malleh, Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Anggota Parlimen Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman.
Projek Mesej Kinolosodon melibatkan kawasan penanaman getah seluas 200 hektar dan pembinaannya terbahagi kepada dua fasa. Setiap fasa melibatkan 33 orang peserta iaitu ketua isi rumah miskin tegar. Fasa pertama yang dimulakan pada tahun 2007 kini sudah mengeluarkan hasil.
Fasa kedua pula masih pada peringkat penyelenggaraan dan dijangka mula mengeluarkan hasil menjelang 2018. Selain kemudahan perumahan, Mesej juga dilengkapi dengan jalan raya berturap dari jalan utama hingga ke ladang serta bekalan elektrik dan air.
Apabila Mesej berkenaan beroperasi sepenuhya peserta dijangka berupaya memperolehi pendapatan sehingga RM1,102 sebulan sekali gus mengeluarkan mereka daripada garisan kemiskinan tegar.
Menurut Musa, berdasarkan rekod pencapaian kerajaan BN dalam membela rakyat, beliau yakin rakyat tidak akan mudah terpengaruh dengan tohmahan pihak pembangkang kononnya BN tidak bertanggungjawab kerana sudah jelas rakyat sudah merasai pelbagai nikmat hasil usaha kerajaan BN.
Katanya khidmat BN kepada rakyat tidak akan terhenti kerana perkhidmatan BN bukan bermusim seperti pembangkang yang hanya muncul kononnya untuk membela rakyat ketika menjelang pilihan raya namun hilang serta-merta selepas itu.
Pada majlis berkenaan Musa turut menyerahkan 195 geran tanah kepada penduduk Kampung Seri Serbang dan 65 geran tanah lagi kepada penduduk Kampung Sg Damit.
Beliau mengingatkan kaum bumiputera supaya tidak menjual tanah yang diberikan kerajaan kepada mereka sebaliknya perlu dijaga dan mengusahakannya dengan baik serta diwariskan kepada anak cucu mereka kelak.
“Satu sahaja saya minta. Jangan jual tanah ini…kita tidak mahu kita orang Sabah tinggal di tepi jalan. Turunkan kepada anak cucu cicit kita. Barulah kita selamat,” katanya. – BERNAMA

