SEREMBAN – Seorang pemandu lori membawa tong gas maut selepas lorinya terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter di Jalan Bukit Tangga, Jelebu pagi tadi.
Mohd Nazri Md Rejab, 32, dari Triang, Pahang maut di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi manakala kelindannya Rozainol Nasution, 29, dari Felda Lui Timur cedera parah.
Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Shahrul Nizam Abdul Rahim berkata lori itu dilapor melanggar penghadang jalan ketika menuruni bukit sebelum menggelongsor ke dalam gaung.
“Kami percaya lori tersebut mengalami masalah brek kerana terdapat kesan minyak brek di atas jalan raya,” katanya kepada Bernama.
Pemandu itu tersepit di tempat duduknya manakala kalindannya ditemui di luar lori tersebut.
Sementara itu di Rembau, seorang pemandu treler yang membawa barangan kurier maut apabila lorinya melanggar bahagian belakang sebuah treler lain di Km 231 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke utara berhampiran Tol Pedas-Linggi malam semalam.
Dalam kejadian 10 malam itu, Vizaidi M Sapian, 27, dari Temerloh, Pahang sedang dalam perjalanan menghala Kuala Lumpur.
Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Abdul Hakim Awang berkata pihaknya mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. – BERNAMA

