ROMPIN – Peneroka kaum India di beberapa Felda di Rompin tidak rasa tersisih, malah bebas mempraktikkan amalan agama dan kebudayaan mereka walaupun jumlah mereka hanya segelintir sahaja.
Mereka yang telah bersama-sama dengan peneroka Melayu membuka Felda Keratong sejak 1972 amat mesra antara satu sama lain, malah telah wujud perhubungan yang kukuh.
Berdasarkan maklumat daripada pegawai Felda di Keratong 8, terdapat kira-kira 30 keluarga India di tanah rancangan tersebut, dan 25 keluarga lagi di Felda Keratong 9 yang berdekatan, selain beberapa keluarga India di beberapa ladang swasta berdekatan.
P Wanitha, 36, yang tinggal di Felda Keratong 8 berkata masyarakat India di situ tidak pernah mengalami sebarang masalah, perselisihan faham ataupun pertelingkahan mengenai isu agama atau budaya dengan masyarakat Melayu yang merupakan penduduk majoriti di situ.
Generasi kedua peneroka Felda itu berkata kaum India di situ juga telah biasa dengan budaya Melayu, malah kebanyakan mereka fasih bertutur bahasa Melayu tanpa slanga atau pelat bahasa Tamil.
“Mereka (Melayu) sangat menghormati kami walaupun kami sangat sikit dan kami sudah seperti satu keluarga di sini,” katanya ketika ditemui Bernama di tanah rancangan itu, kira-kira 100km dari sini baru-baru ini.
Kedudukan rumah peneroka Felda kaum India yang bertaburan di kawasan Felda itu turut mewujudkan suasana yang lebih mesra dan harmoni, yang telah menggalakkan mereka bergaul mesra dengan peneroka kaum Melayu.
Wanitha juga berkata keadaan ini menggalakkan wujudnya keharmonian dan mengeratkan hubungan antara peneroka India dan Melayu, dan Felda juga tidak membezakan antara kedua-dua kaum itu dari segi bantuan dan kemudahan yang diberikan.
Bagi Rajalaksmi Raju, 59, yang menyertai tanah rancangan sejak mula dibuka kira-kira 43 tahun lepas berkata yang paling seronok apabila musim perayaan tiba dengan amalan kunjung-mengunjungi, berkongsi makanan tradisional serta bermain bunga api adalah keistimewaan masyarakat majmuk di situ.
“Yang paling menarik adalah ketika parayaan Deepavali dan Hari Raya Puasa di mana kami akan saling mengunjungi rumah satu sama lain bagi memeriahkan lagi suasana perayaan itu,” katanya.
Mereka yang turut menikmati pelbagai pembangunan di tanah rancangan itu, bagaimanapun berharap pihak Felda dapat mempertimbangkan harapan mereka untuk membina sebuah kuil di tanah rancangan itu memandangkan kuil yang terdekat terletak lebih 40km dari tempat tinggal mereka.
V Tamilmani, 60, berkata untuk ucapara sembahyang khas mereka terpaksa ke Kuantan atau Maran.
“Setiap minggu kami terpaksa mengharungi lebih 40 kilometer untuk pergi kuil yang terdekat di Kuantan, dan lebih 100km ke Maran,” katanya.
Katanya, kuil sangat penting bagi masyarakat tersebut bukan sahaja untuk upacara keagamaan, tetapi juga untuk ucpacara perkahwinan dan juga mendapatkan restu untuk bayi yang baru dilahirkan, selain aktiviti kelas keagamaan dan bahasa Tamil.
Walau pengundi India merupakan satu peratus atau 621 pengundi daripada keseluruhan 53,294 pengundi berdaftar di Parlimen Rompin, mereka didapati paling aktif keluar mengundi iaitu pada pilihan raya Umum 2013, seramai 80 peratus daripada mereka keluar mengundi.
Dalam bahang kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini, mereka juga tidak ketinggalan berdepan dengan perayu-perayu undi daripada jentera Barisan Nasional (BN) dan PAS yang bertanding .
PRK itu, yang diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Rompin berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=HkChb89wZ2I

