KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Leung Chun-ying, di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 di sini, hari ini.
Leung, yang diiringi anggota delegasinya, mengadakan pertemuan kira-kira 30 minit dengan Najib di sebuah hotel terkemuka di sini.
Leung berada di ibu negara untuk menghadiri Forum Kepimpinan ASEAN Ke-12, yang dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI) sempena sidang kemuncak itu.
Malaysia mempengerusikan ASEAN buat kali keempat tahun ini. Sebelum ini, Malaysia mempengerusikan perkumpulan serantau itu pada 1977, 1997 dan 2005.
Sidang Kemuncak selama dua hari itu, yang bermula hari ini, berlangsung di Kuala Lumpur dan Langkawi. – BERNAMA