SEPANG – Presiden Myanmar U Thein Sein tiba di Malaysia hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-26.
Pesawat khas Myanmar Airways International yang membawa presiden dan isterinya Daw Khin Khin Win mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 12.19 tengah hari.
Sejurus tiba, beliau berjalan melalui barisan dua pegawai dan 26 anggota Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja yang berbaris di kiri dan kanan laluan permaidani merah yang dihamparkan di tarmac bagi menyambut ketibaan beliau.
Batalion itu diketuai Kapt Mohd Azwan Arif Mohd Azahari.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut berada di Kompleks Bunga Raya bagi menyambut ketibaan presiden.
Bercakap kepada Bernama selepas ketibaan Thein Sein, Ahmad Shabery berkata kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN kali ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah amat penting untuk memacu hasrat pembentukan Komuniti ASEAN 2015.
“Faedah Komuniti ASEAN akan diperolehi oleh semua negara anggota ASEAN yang merupakan satu pasaran besar dengan lebih 600 juta penduduk yang jika dimanfaatkan akan menjadi kekuatan baharu di dalam blok-blok dunia yang ada,” katanya.
Mengulas mengenai hubungan Malaysia dengan Myanmar, Ahmad Shabery berkata ia semakin akrab dengan beberapa isu dapat diselesaikan sebelum ini melalui semangat ASEAN.
“Ada pihak yang cuba memecahkan ikatan ASEAN dan melalui pelbagai kaedah diplomatik, kita akan dapat mematahkan cubaan itu,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 selama dua hari yang bermula hari ini berlangsung di Kuala Lumpur dan Langkawi.
Menjelang akhir tahun ini, pertubuhan serantau itu berharap dapat menyaksikan terbentuknya Komuniti ASEAN – sebuah rantau bersama ekonomi, politik-keselamatan dan sosiobudaya.
Ditubuhkan pada 1967, ASEAN dianggotai 10 negara iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Sebelum ini, Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN pada 1977, 1997 dan 2005.- BERNAMA

