KUALA LUMPUR – Akibat gagal mengawal kemarahan, seorang juruteknik didenda RM700 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyebabkan kecederaan terhadap isterinya minggu lepas.
Lim Hang Keong, 31, yang mengaku bersalah, membayar denda itu.
Tertuduh menyebabkan kecederaan terhadap Long Poh Poh, 27, di depan rumahnya di Taman Kepong di sini pada 8.30 malam 15 April.
Menurut fakta kes, Long ke rumah Lim untuk berjumpa suaminya itu bagi membincangkan urusan perceraian mereka.
Mereka kemudian bertengkar dan Lim menghalang Long daripada meninggalkan rumah itu dengan merampas kunci keretanya.
Dalam kekecohan seterusnya, Lim menampar Long, yang kemudian jatuh dan tidak sedarkan diri.
Wanita berkenaan dihantar ke hospital oleh kawannya dan dimasukkan ke wad untuk pemerhatian.
Dalam rayuannya, Lim memberitahu majistret Nur Azura Murah bahawa dia menyesali tindakannya itu dan memohon maaf kepada mahkamah.
Kata lelaki itu, ketika kejadian, dia berada dalam keadaan amat marah, tetapi tidak berniat untuk mencederakan isterinya.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam menjalankan pendakwaan.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki transgender didenda RM3,000 atau penjara lima bulan setelah mengaku bersalah menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis hujung minggu lepas.
Mahadir Kadil, 30, membayar denda itu.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di depan sebuah bank di Jalan Bukit Bintang di sini pada 1.30 pagi 18 April. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=POyzS1ik0FI

