PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggesa Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) mempergiatkan usaha mempromosi ‘Malaysia Good Design Mark’ (MGDM) bagi menghasilkan rekabentuk produk berkualiti, inovatif dan kekal kompetitif di pasaran global.
Menteri berkenaan, Datuk Dr Ewon Ebin berkata MGDM yang diperkenalkan sejak 1997 merupakan pengiktirafan terhadap usaha sektor perindustrian dalam melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan berterusan untuk meningkatkan kualiti produk.
“Sehingga kini, sebanyak 448 syarikat telah menerima pengiktirafan MGDM, khususnya syarikat mikro industri dalam kategori pembungkusan. Kini, sebanyak 78 buah syarikat bumiputera mendapat pengiktirafan MGDM.
“Saya berharap MRM akan terus mempromosikan MGDM supaya bilangan ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang,” katanya pada majlis penyampaian MGDM 2014 di sini malam ini. Hadir sama ialah Pengerusi MRM, Prof Datuk Dr Ahmad Zainuddin.
Pada majlis itu, sebanyak 48 produk daripada 29 syarikat diberi pengiktirafan dalam MGDM 2014 kerana menepati standard penilaian rekabentuk yang ditetapkan.
Ewon juga mengalu-alukan usaha MRM yang sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi yang sama di negara maju, antaranya Japan Institute of Design Promotion, Korea Institute of Design Promotion dan German Design Zentrum bagi memastikan kualiti produk menerima MGDM setaraf dengan anugerah rekabentuk terbaik di peringkat antarabangsa.
“Melalui kerjasama strategik seperti ini, saya yakin MRM dapat menimba pengalaman daripada negara Jepun dan Korea,” katanya.
Ewon juga menggesa sektor perindustrian tempatan untuk memacu kejayaan melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk dengan rekabentuk yang lebih kreatif dan inovatif.
“Bagi produk yang memiliki fungsi teknologi, kualiti dan harga yang hampir sama, rekabentuk yang menjadi penentu sama ada ia akan diterima atau popular di kalangan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata MRM akan meneruskan anjakan paradigma sektor perindustrian tempatan dengan berusaha memperkenalkan inisiatif berkaitan bagi membantu produk keluaran tempatan terus menempa nama dan setanding di peringkat antarabangsa.
“Rekabentuk merupakan alat yang strategik dalam mencorak landskap ekonomi negara dan tidak mustahil ia akan menjadikan kita sebagai negara pengeluar produk dengan rekabentuk terbaik di persada antarabangsa,” katanya. – BERNAMA
