SUSPEK insiden pengeboman acara larian marathon di Boston, Amerika Syarikat, Dzhokhar Tsarnaev, 21, telah disabitkan bersalah dalam 30 pertuduhan terhadapnya berhubung tragedi berdarah itu.
Pihak juri yang terdiri daripada lima lelaki dan tujuh wanita mengambil masa kira-kira selama dua hari berbincang sebelum mereka sebulat suara mencapai kata sepakat mengatakan suspek bersalah di atas kesemua pertuduhan tersebut.
Tsarnaev tidak menunjukkan sebarang reaksi sebaik keputusan diumumkan, semalam.
Kemungkinan besar Tsarnaev bakal berdepan hukuman mati ataupun dipenjara seumur hidup di atas kesalahan yang dilakukannya dua tahun lalu sekiranya pihak pembelaannya tidak berjaya dalam hujah yang bakal dibentangkan mereka di kemudian hari.
Dalam kejadian pada 15 April 2013, Tsarnaev dan abangnya, Tamerlan Tsarnaev, 26, telah mensasarkan untuk mengebom tempat awam yang pada ketika itu diadakan acara tahunan Marathon Boston.
Mereka meletakkan beg sandang yang diletakkan bahan letupan itu di garisan penamat acara larian itu sehingga mengorbankan tiga mangsa dan mencederakan 264 orang awam yang lain.
Ekoran kejadian menggemparkan itu, Boston telah diletakkan dalam situasi berjaga-jaga selama empat hari di mana penyiasat cuba mencari dalang yang menyebabkan letupan tersebut.
Tamerlan bagaimanapun tercedera selepas ditembak pihak polis dan disahkan meninggal dunia empat hari selepas tempat persembunyian mereka digeledah pihak berkuasa beberapa jam selepas mereka melakukan perbuatan jenayah itu. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=-xiXroQp8t4

