“Inilah bezanya, ertinya bukan sahaja nilai untuk wang, tetapi kalau dapat rumah ini, ia boleh kira ‘durian runtuh’ jugalah kerana projek ini memberi keuntungan yang besar di mana lima hingga 10 tahun lagi, nilainya akan melonjak lebih tinggi lagi,” kata beliau.Selain itu, beliau berkata PPA1M itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan taman permainan yang menjadikan kehidupan di situ lebih selesa.
Najib berkata kerajaan sentiasa mendengar keluh kesah penjawat awam yang tinggal di bandar yang menghadapi kesukaran memiliki kediaman sendiri berikutan harga pasaran yang tinggi.
Untuk itu, kerajaan melaksanakan projek PPA1M yang menawarkan unit rumah pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran bagi memenuhi kemampuan penjawat awam.
Dalam usaha memastikan seramai mungkin penjawat awam dapat memiliki kediaman sendiri di bandar, Najib berkata kerajaan bersetuju membina sebanyak 100,000 unit rumah PPA1M di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata pada April 2013, kerajaan mengumumkan pembangunan sebanyak 10,336 unit rumah PPA1M di Putrajaya dan PPAIM fasa dua di lokasi sama dilancar baru-baru ini dengan tambahan 4,911 unit rumah.
Susulan permintaan yang amat tinggi terhadap unit rumah itu, beliau berkata PPA1M seterusnya dibuka di Bukit Jalil bagi memenuhi permintaan di mana sebanyak 1,536 unit rumah ditawarkan. – BERNAMA