LUMUT – Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Manjung merampas tiga komputer riba serta enam salinan perisian komputer cetak rompak bernilai RM5,000 semalam.
Ketua KPDNKK Cawangan Manjung Omar Ismail berkata komputer berkenaan dirampas dalam serbuan di sebuah kedai menjual komputer di pusat bandar Manjung pada 1.30 petang.
“Rampasan dilakukan selepas menerima aduan wakil pemegang hak cipta. Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga komputer, yang akan diserah kepada pelanggan mereka, tidak mempunyai pelekat nombor pendaftaran produk yang sah dengan setiap komputer telah dimasukkan dua salinan perisian komputer cetak rompak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Hakcipta 1987 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM10,000 bagi setiap salinan perisian komputer cetak rompak.
Katanya, rampasan itu yang pertama tahun ini di daerah berkenaan dan menasihati penjual atau individu agar tidak menjual atau menggunakan perisian cetak rompak bagi menghormati industri hak cipta. – BERNAMA