ADIK tiri lagenda Formula One (F1), Michael Schumacher, Sebastian Stahl terselamat daripada maut apabila dia tidak jadi menaiki pesawat malang Germanwings yang terhempas di Pergunungan Alps, Perancis, Selasa lalu.
Sebastian berada di Barcelona, Sepanyol kerana menjalani penggambaran iklan sebelum nahas yang mengorbankan 150 penumpang termasuk anak kapal itu berlaku.
Pada mulanya, namanya tersenarai selepas pihak produksi ingin menangguhkan perjalanan pulang mereka akibat hujan lebat yang melanda bandar Sepanyol.
Namun, akhirnya krew produksi menukar fikiran di saat akhir apabila mereka mengikut kembali perancangan asal untuk pulang ke Jerman sehari sebelum kejadian berlaku.
Disebabkan namanya tersenarai dalam senarai penumpang tersebut, ramai kenalannya menjangkakan dia merupakan salah seorang mangsa korban dalam nahas tersebut.
“Ia merupakan situasi yang sukar untuk dipercayai, saya terpaksa menerangkan kepada ramai orang bahawa saya masih hidup.
“Saya pulang sehari lebih awal menggunakan penerbangan yang sama dari Barcelona menuju ke Cologne,” katanya.
Pembantu juruterbang, Andreas Lubitz dikatakan bertanggungjawab terhadap nahas itu apabila dia dikatakan sengaja menjunamkan pesawat yang dikawalnya kerana dikhabarkan mengalami masalah kemurungan sejak beberapa tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC