PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Klang menyelamatkan 10 kru kapal penyedut pasir warga China apabila kapal berkenaan karam di perairan Selangor dalam operasi awal pagi tadi.
Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Klang Laksamana 1 Mohd Aliyas Hamdan berkata kapal penyedut pasir TJ 9 yang didaftarkan di Bolivia itu karam pada 12.30 pagi kira-kira tujuh batu nautika di Barat Daya Tanjung Rhu berhampiran Teluk Gedung akibat kebocoran teruk pada bahagian enjin.
Menurutnya, kapal berukuran 86 meter panjang dan 14 meter lebar itu dikenal pasti sedang dalam perjalanan ke utara dari pelabuhan di Johor sebelum rosak.
“APMM menerima panggilan kecemasan pada 12.30 pagi berhubung kejadian tersebut dan anggota kita mengambil masa kira-kira setengah jam menyelamatkan kesemua kru berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kesemua mangsa mempunyai pasport sah dan dokumentasi lengkap dalam aktiviti menyedut pasir namun kita sedang menyiasat ke mana arah tuju kapal berkenaan yang menghala ke utara semasa karam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Aliyas berkata kesemua kru kapal berumur 20 hingga 52 tahun itu akan diserahkan kepada agen mereka yang berpangkalan di Johor untuk tindakan lanjut.
Katanya, kapal penyedut pasir itu tidak membawa sebarang muatan kargo lain dan pihaknya sedang memantau lokasi kapal karam berkenaan sekiranya ada berlaku sebarang tumpahan minyak.
Tambah beliau, pihaknya juga telah memasang pelampung dan lampu di sekitar kawasan kapal karam tersebut sebagai isyarat kepada kapal dagang lain agar sentiasa berwaspada ketika melalui laluan berkenaan.
“Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Tengah) telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut bagi memberi isyarat kepada kapal dagang lain dan mengelak kejadian yang tidak diingini,” katanya. – BERNAMA

