IPOH – Seorang lelaki warga emas dijumpai mati lemas ketika sedang menjala ikan bersama seorang rakannya di sebuah anak sungai di Kampung Piandang Siputeh dekat Batu Gajah di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah Halid Md Zin berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 10.38 pagi.
Beliau berkata sebelum kejadian, mangsa Lee Kok Kwong, 77, bersama rakannya berada di tebing sungai berkenaan sedang menjala ikan.
“Menurut rakannya, mangsa tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai dan dia ternampak topi yang dipakai mangsa terapung,” katanya ketika dihubungi.
Halid berkata mayat mangsa kemudiannya dijumpai kira-kira 11.45 pagi dalam keadaan tersangkut pada jala berkenaan tidak jauh dari tempat dia dilaporkan terjatuh.
Katanya operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah. – BERNAMA

