KUALA TERENGGANU – Sebanyak 50 unit rumah mampu milik di Kampung Batin dekat Seberang Takir di sini dijadikan projek perintis perumahan rakyat miskin dengan harga jualan RM20,000 seunit.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, bayaran harga rumah itu juga dilakukan secara ansuran iaitu tidak melebihi RM50 sebulan untuk tempoh sehingga 20 tahun.
Ahmad Razif menambah harga asal seunit rumah tersebut ialah RM68,000 namun dikurangkan kepada RM20,000 selepas pemberian subsidi bagi memastikan golongan miskin juga mampu memiliki kediaman sendiri.
“Subsidi diberikan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) iaitu sebanyak RM30,000.
“Pihak kerajaan negeri pula menambah subsidi sebanyak RM18,000, sekali gus menjadikan keseluruhan subsidi yang diberikan ialah RM48,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Kasih Warga Kemas Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.
Turut hadir, isteri Menteri Besar Toh Puan Halina Zakaria, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus Datuk Basir Ismail.
Ahmad Razif berkata pada peringkat ini Maidam sedang membuat pemilihan orang miskin yang layak membeli rumah tersebut, dan beliau juga menyifatkan bayaran yang dikenakan adalah sangat berpatutan.
“Jika mereka tidak mampu (untuk membayar), anak atau waris terdekat perlu menyambung bayaran ansuran bulanan dan rumah itu boleh dijadikan harta pusaka mereka,” katanya. Ahmad Razif juga berharap apabila golongan kurang berkemampuan itu tinggal di perumahan sama dengan masyarakat lain, mereka akan mendapat motivasi untuk berusaha melepaskan diri dari kepompong kemiskinan.
Pada majlis yang sama, Ahmad Razif turut menyampaikan sumbangan sebanyak 100 buah komputer riba dan 100 buah pencetak kepada Kemas Terengganu untuk melancarkan urusan pentadbiran mereka. – BERNAMA

