IPOH : Empat bekas EXCO kerajaan Perak sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tampil meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan berhubung isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Empat bekas EXCO berkenaan adalah ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How; ADUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi; ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing.
Howard Lee sebagai jurucakap kumpulan itu berkata, isu penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas 188.13 hektar itu kepada syarikat swasta sememangnya tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri mahupun Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.
“Kami percaya ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyalahgunakan kuasa berunding secara senyap dengan pembeli tanpa pengetahuan barisan EXCO negeri ketika itu mahupun Lembaga Pengarah PKNP.
“Selain ingin membersihkan reputasi PH sewaktu 22 bulan mentadbir Perak, laporan yang dibuat kepada SPRM hari ini adalah bagi menuntut siasatan lengkap terhadap pihak terbabit dalam penyalahgunaan kuasa,” katanya ketika hadir bersama Nizar dan Kar Hing mengiring Asmuni membuat laporan kepada SPRM, hari ini.
Ditanya mengenai kewajaran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad atau UMNO membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai isu itu, Horward Lee berkata, ia terpulang kepada sejauh mana Saarani serius terhadap isu penyalahgunaan kuasa.
Semalam, seorang lagi bekas EXCO kerajaan negeri sewaktu pentadbiran PH iaitu ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Bebas) melalui kenyataan di Facebook turut mengakui bahawa penjualan tanah lapangan terbang berkenaan tidak pernah dibawa ke mesyuarat EXCO negeri untuk diperbincang dan diluluskan bersama.
Dalam pada itu, Nizar serta Asmuni yang juga ahli Lembaga Pengarah PKNP ketika itu turut menegaskan perkara mengenai penjualan tanah itu juga tidak pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah perbadanan itu ketika pentadbiran PH.
Susulan itu, Nizar turut menggesa agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menarik kembali Kebenaran Merancang (KM) yang sudah diluluskan bagi pembangunan bercampur di tapak tanah lapangan terbang berkenaan.
-Berita Harian

