JOHOR BAHRU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz, menafikan dakwaan bahawa wakilnya tidak memberikan kerjasama atau bersikap lepas tangan terhadap aduan kes kebakaran membabitkan lima premis perniagaan di FELDA Ulu Tebrau pada 25 Mac lalu.
Amira Aisya menjelaskan pada hari kejadian, beliau tidak berada di kawasan, namun terus berhubung dengan wakil komuniti di FELDA Ulu Tebrau dan Pengurus FELDA itu untuk mengetahui keadaan.
Beliau berkata, kedua-dua pihak berkenaan kemudian memaklumkannya akan situasi di tempat kejadian.
“Saya kemudian turut menziarahi kedai yang terkesan itu. Alhamdulillah, Tuanku (Sultan Johor) juga mencemar duli turun ke kawasan kejadian dan perkenan membiayai pembinaan semula premis terbabit. Menjunjung kasih Tuanku,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas tuduhan tular bahawa wakilnya tidak bekerjasama terhadap aduan kes kebakaran berkenaan, malah didakwa menyatakan Amira Aisya tidak dapat membantu kerana masih belum mengangkat sumpah sebagai ADUN.
Mengulas lanjut, Amira Aisya percaya bahawa wakilnya tidak akan berkata sebagaimana didakwa itu.
“Ia berikutan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini, kami terus turun padang dan apa saja masalah yang kami boleh selesaikan, kami cuba selesaikan,” katanya.
Amira Aisya menjelaskan bagi perkara di luar kemampuan pihaknya pula, ia akan disalurkan kepada pihak berwajib.
Katanya, beliau akan terus bekerja keras untuk membantu mempermudahkan urusan rakyat di DUN Puteri Wangsa.
“Sekiranya ada yang terlepas pandang, saya bersikap terbuka menerima teguran asalkan ia kritikan membina dan bukan sekadar fitnah serta tuduhan,” katanya.
Amira Aisya yang juga Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mencatat kemenangan sulung parti itu pada PRN Johor ke-15 dengan meraih majoriti 7,114 undi dalam saingan enam penjuru di kerusi DUN Puteri Wangsa.
-Berita Harian