KUALA TERENGGANU: Kehabisan stok paracetamol di farmasi beberapa daerah di negeri ini dikatakan berpunca pembelian panik orang ramai selepas terpengaruh dakwaan ubat itu boleh mengurangkan kesakitan selepas suntikan dos penggalak.
Selain itu, kehabisan bekalan paracetamol atau yang lebih dikenali menerusi satu daripada jenamanya iaitu Panadol juga dikaitkan dengan dakwaan ubat generik itu boleh mencegah jangkitan COVID-19.
Tinjauan di beberapa farmasi dan kedai serbaneka 24 jam di Bandaraya Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang mendapati bekalan ubat itu kehabisan stok sejak awal bulan ini.
Bagaimanapun, ketika tinjauan di beberapa kedai runcit di pinggir bandar mendapati masih terdapat bekalan tetapi semakin berkurangan.
Peniaga kedai runcit mendakwa, bekalan paracetamol jenama Panadol yang masih dijual adalah stok lama.
Mereka juga mendakwa mendapat bekalan antara lima dan 10 kotak panadol pelbagai jenis termasuk solube dan extra advance serta extend.
Seorang petugas di kedai farmasi, Wan Zaidah Wan Salleh, 38, dari Bukit Besar ketika ditemui menafikan ketiadaan stok panadol ada kaitan dengan dakwaan boleh mengurangkan kesakitan selepas suntikan dos penggalak.
Seorang petugas di sebuah farmasi, Muhammad Nor Firuddin, 36, berkata keberkesanan pengambilan panadol sebelum dan selepas suntikan berbeza dan bergantung kepada tahap kesihatan individu.
Katanya, panadol yang semakin popular dalam kalangan masyarakat dikatakan menjadi pilihan utama selepas terpengaruh dengan dakwaan simptom demam selepas divaksin sembuh selepas mengambil ubat itu.
BHonline-