NEW YORK: Lebih 700 orang awam, termasuk 52 kanak-kanak, terbunuh di Ukraine sejak Russia menyerang negara itu tiga minggu lalu, namun ‘jumlah sebenar dikhuatiri mungkin lebih tinggi’.
Ketua Hal Ehwal Politik, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rosemary DiCarlo, mengemukakan maklumat itu ketika sesi persidangan Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
“Kebanyakannya menjadi mangsa disebabkan penggunaan bom dan senjata letupan di kawasan berpenduduk padat serta merangkumi kawasan yang luas.
“Ratusan bangunan kediaman juga rosak atau musnah, begitu juga hospital dan sekolah,” katanya tanpa menyatakan siapa yang harus dipersalahkan.
Beliau memberitahu majlis 15 anggota itu bahawa agensi hak asasi manusia PBB merekodkan 726 kematian, termasuk 52 kanak-kanak, dan 1,174 orang cedera, termasuk 63 kanak-kanak, antara 24 Februari dan 15 Mac lalu.
“Kesan besar korban awam dan kemusnahan prasarana awam di Ukraine tidak boleh dinafikan, ini memerlukan penyiasatan menyeluruh dan mesti ada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Selain itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengesahkan 43 serangan terhadap institusi jagaan kesihatan di Ukraine, mengorbankan 12 orang dan mencederakan puluhan lagi, termasuk pekerja kesihatan.
“Dalam sebarang konflik, serangan terhadap sektor jagaan kesihatan adalah melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya kepada UNSC, juga tanpa menamakan siapa yang bersalah.
Ukraine dan sekutu Barat menuduh Moscow menyerang orang awam manakala Russia menafikan menyerang orang awam, dengan menegaskan ia menyasarkan prasarana ketenteraan Ukraine.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, berkata beliau percaya Russia bersalah melakukan jenayah perang dengan menyerang orang awam di Ukraine.
Beliau juga berkata, Moscow tidak ikhlas berusaha dalam rundingan damai dengan Kyiv, dengan Presiden Joe Biden bersedia mengeluarkan amaran kepada China supaya tidak menghantar senjata ke Russia bagi menyokong pencerobohan Ukraine.
“Sebelum ini, Presiden Biden berkata, pada pendapatnya, jenayah perang dilakukan di Ukraine dan secara peribadi, saya bersetuju.
“Menyasarkan orang awam dengan sengaja adalah jenayah perang. Selepas semua kemusnahan beberapa minggu lalu, saya berasa sukar untuk membuat kesimpulan bahawa Russia melakukan sebaliknya,” katanya.
“Russia terus menyerang tapak awam, termasuk minggu ini saja, satu hospital, tiga sekolah (dan) satu sekolah asrama buat kanak-kanak cacat penglihatan di wilayah Lugansk di Ukraine,” katanya.
Tambah Blinken, diplomasi memerlukan kedua-dua pihak datang dengan niat baik untuk meredakan keadaan dan setakat ini beliau tidak nampak tanda-tanda Putin bersedia untuk hentikan pencerobohan.
BHonline-

