Kuala Terengganu : Ayam pencen mula menjadi pilihan masyarakat selepas berlakunya krisis kekurangan bekalan ayam segar di beberapa pasar utama di negeri ini.
Ayam pencen yang dijual pada harga RM8 seekor menjadi pilihan utama masyarakat berbanding ayam sejuk beku, selepas ayam segar kehabisan.
Tinjauan di beberapa pasar utama termasuk pasar Chabang Tiga mendapati ayam pencen menjadi pilihan masyarakat selepas bekalan ayam segar habis dijual.
Seorang peniaga ayam, Rosshidawani Ruslee, 36, dari Kampung Kubang Parit, di sini, mengakui bekalan ayam segar berkurangan dan tidak mampu untuk memenuhi permintaan pelanggannya.
Katanya, walaupun harga ayam segar diturunkan kepada RM8.90 sen satu kilogram (kg), tetapi bekalan ayam segar sukar diperolehi.
“Kami hanya memperoleh bekalan ayam segar daripada pemborong, sebanyak antara 50 dan 80 kg sehari sedangkan pesanan dibuat sebanyak 150 kg.
“Bekalan diperolehi tidak mampu untuk kami memenuhi permintaan pelanggan tetap iaitu pengusaha asrama sekolah dan beberapa restoran,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Gong Pauh, Wakaf Mempelam, di sini, hari ini.
Rosshidawani berkata, penjualan ayam segar juga terpaksa dihadkan hanya dua ekor seorang pelanggan.
“Kita juga terpaksa mengurangkan tempahan yang dipesan pengusaha kantin asrama sekolah dan restoran.
“Jika bekalan ayam segar yang dijual kehabisan, ayam pencen menjadi pilihan pelanggan,” katanya.
Tasya mengakui sejak berlakunya krisis kekurangan ayam segar lebih satu minggu lalu, ayam pencen mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
“Kami terpaksa membuat tempahan antara 100 serta 120 ekor ayam pencen sehari,” katanya.
-Harian Metro