MELAKA – Syif kerja anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selama 12 jam daripada 24 jam mungkin dicapai sepenuhnya menjelang tahun depan.
Perkara ini dinyatakan Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.
Beliau berkata sistem kerja lebih pendek adalah penting bagi mengurangkan beban kerja anggota sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.
“Kita dapati kaedah bekerja 24 jam membuatkan anggota bomba berasa penat di mana setiap balai menerima panggilan 300 hingga 400 setahun. Ada juga balai yang terima 800 panggilan iaitu purata satu hingga tiga panggilan dalam sehari.
“Jadi kita perlu kurangkan masa bekerja kepada 12 jam dengan lebih menggunakan khidmat anggota bomba bantuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM di sini hari ini.
Wan Mohd Nor berkata setakat ini 40 buah balai telah mengamalkan sistem kerja 12 jam, manakala baki 39 buah balai akan dinaik taraf tahun ini.
Sementara itu beliau berkata sejak skim perkhidmatan Pegawai Bomba Bantuan dilancarkan pada Mei tahun lepas, JBPM telah melantik 430 orang PBB dan mewujudkan lima balai bantuan.
Beliau berkata jabatan itu menerima 99,830 panggilan kecemasan tahun lepas berbanding 68,280 panggilan pada 2013, meningkat kira-kira 42 peratus berikutan musim kemarau dan banjir. – BERNAMA

