SHAH ALAM : Sebanyak 1,163 kemalangan direkodkan dalam tempoh tiga hari Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina di seluruh Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama pada Op Selamat 16 pada 2020 dengan 1,649 kes kemalangan dicatatkan.
“Dalam tempoh tiga hari operasi, sebanyak 1,163 kemalangan berlaku berbanding 1,649 pada Op Selamat 16 iaitu pada musim perayaan Tahun Baharu Cina 2020.
“Ia menunjukkan penurunan 486 kes setakat ini dan kes kemalangan maut juga menurun enam kes berbanding 11 kes pada Op Selamat 16.
“Kita mengharapkan yang terbaik supaya tidak ada lagi kemalangan berlaku selepas ini,” katanya pada Op Bersepadu sempena Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina 2022 di bekas tapak Plaza Tol Sungai Rasau arah Klang di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya juga memberikan tumpuan kepada beberapa laluan ‘black spot’ iaitu lokasi sering berlaku kemalangan di negeri ini.
Katanya, lokasi atau laluan berkenaan adalah Persiaran Tengku Ampuan dan Jalan Meru di Klang; Persiaran Surian di Petaling Jaya; Jalan Nilai ke Bukit Changgang di Sepang, MRR2 di Ampang Jaya dan Jalan Klang – Banting.
Sementara itu, Arjunaidi berkata, seorang lagi individu ditahan dipercayai terbabit kes pengeluaran sijil vaksinasi digital tanpa suntikan.
Katanya, penahanan individu itu menjadikan lapan orang ditahan setakat ini, namun maklumat lanjut mengenai tangkapan itu tidak dapat dikongsikan berikutan siasatan masih dijalankan.
“Kita masih mengumpulkan keseluruhan yang terbabit dan kenyataan akan diberi kemudian,” katanya.
Pada sidang media 17 Januari lalu, Arjunaidi memaklumkan tujuh termasuk tiga wanita berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun yang juga pekerja dan pemilik sebuah poliklinik ditahan dipercayai terbabit aktiviti pemalsuan cara memperoleh dan mengeluarkan sijil vaksinasi secara tidak sah di Selangor.
-Berita Harian