PUTRAJAYA : Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berhubung dakwaan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.
Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata memorandum itu terdiri 13 kad bantahan bertulis ‘Undur Azam Baki’ yang diserahkan kepada SPRM bagi menyampaikan pandangan rakyat negara ini.
“Ia (memorandum) penting untuk mempertahankan integriti serta menyelamatkan kedudukan suruhanjaya berkenaan.
“AMK akan memberi tekanan kepada kerajaan supaya Azam dipecat atau diberi cuti rehat sehingga kes siasatan terhadapnya selesai,” katanya ketika ditemui di bangunan SPRM di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.
Terdahulu, sebanyak 10 kenderaan berkonvoi dari Dataran Putrajaya ke Presint 2 bagi menyerahkan memorandum terbabit di bangunan SPRM.
Azam kini terpalit dengan kes pemilikan saham yang dibangkitkan pihak tertentu.
Bagaimanapun, pada sidang media berhubung isu terbabit baru-baru ini, Azam menyatakan kesediaan jika kes yang didakwa membabitkan dirinya dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan SPRM selain menegaskan tidak menyembunyikan sebarang fakta.
Akmal berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini pernah menyatakan beliau tidak boleh campur tangan dalam kes itu.
“Perkara ini menunjukkan seolah-olah beliau sudah mendengar laporan kes itu dan juga tidak menunjukkan kesungguhan atau kerjasama untuk membuat tindakan.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM yang ada pada hari ini adalah lantikan Perdana Menteri dan bukan dari Parlimen. Sepatutnya Perdana Menteri beri tanggungjawab pindahkan kuasa kepada Parlimen,” katanya.
-Berita Harian

